JANGAN simpan masalah dan kesusahan dialami sendirian. Tiada salahnya berkongsi keperitan bersama keluarga, sahabat ataupun jiran tetangga.

Justeru, bagi mengelakkan masyarakat yang sedang berdepan dengan situasi getir menanggung beban seorang diri, maka Kempen Kibarkan Bendera Putih dilaksanakan.

Kempen tersebut tidak bermakna mengalah, sebaliknya difahamkan untuk membuka mata insan sekeliling peka dan hadir menghulurkan bantuan kepada golongan yang terjejas dek pandemik Covid-19.

“Tidak perlu rasa malu. Hanya kibarkan kain putih. Semoga ada yang datang membantu,” tulis pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Jah.

Beliau dipercayai antara individu terawal memulakan Kempen Kibar Bendera Putih.

Sementara itu, seorang pemilik akaun Twitter @myjassaramli berkata, beliau ternampak gambar dimuat naik di laman sosial Twitter memaparkan jiran keluarganya di Johor Bahru menggibarkan bendera putih di pagar rumah semalam.

“Saya bertanya kepada kakak adakah perkara itu benar. Katanya betul kerana keluarga tersebut terputus bekalan makanan. Ada anak kecil dan isteri sedang tunggu hari untuk bersalin. Semoga dipermudahkan,” kongsinya.

Selain itu, carian di media sosial berhubung kempen bendera putih itu mendapat sambutan daripada warga maya.

Majoriti sedia maklum dan menguar-uarkan agar bantuan segera dihulurkan kepada golongan yang mengibarkan bendera putih.

Antara komen warga maya:

– “Jangan simpan sendirian kesusahan. Beritahu orang sekeliling kita. Kibarkan bendera putih bukan bererti mengalah!.”

Iklan

– “Kepada semua yang susah dan tiada makanan naikkan bendera putih di kediaman anda. Biar orang sekeliling pakat bantu sedikit sebanyak yang termampu. Tolong jangan ambil tindakan yang meremukkan hati orang yang tersayang. Tidak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera.”

– “Aku nak seru kepada semua yang dah terputus bekalan makanan dengan keperluan asas. Pacaklah bendera putih ke kain putih ke dekat depan rumah untuk beritahu yang korang perlukan bantuan segera dalam tempoh pandemik ini. Jangan malu untuk dapatkan bantuan daripada orang sekeliling.”

Baca juga 6 Perkara Tentang Pengeluaran I-Citra KWSP Anda Perlu Tahu

Iklan

Baca juga Portal Khas Online, Inisiatif LZS Bantu Rakyat Selangor Terjejas PKP3.0

– “Tidak perlu merayu, tidak perlu rasa malu, hanya perlu kibarkan bendera putih. Semoga ada yang datang bantu Insya ALLAH jadikan tanggungjawab kita bersama untuk perhatikan persekitaran kita kalau ada bendera putih berkibar. Hulurkan bantuan ikut kemampuan masing-masing.”

– “Jika tuan puan ternampak ada #BenderaPutih di pagar rumah seseorang, ketahuilah bahawa isi rumah tersebut mungkin sedang dalam kesempitan, kelaparan atau terputus bekalan makanan. Pergilah siasat & kita bantu bersama.”

– “Kempen Bendera Putih! Saya sokong idea ini. Buat mereka yang memerlukan bantuan makanan, pakaian, perubatan sila naikkan bendera putih di hadapan rumah. Buat mereka yang ingin membantu, jom peka dan lihat pada sekeliling kita. Mungkin ada diantara jiran kita yang mencatu beras untuk bertahan atau dalam keadaan depresi.”