SIAPA sahaja pasti akan tersentuh atau menitiskan air mata jika melihat haiwan yang tidak berdosa diperlakukan penuh kejam oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Namun, di mata si pelaku pula, tidak sedikit pun rasa kesal saat mereka melakukan perbuatan terkeji itu seperti apa yang dapat kita lihat kes-kes terdahulu yang tular di laman sosial.

Hari ini, seekor kucing pula ditemui mati tersepit di pintu ‘roller shutter’ sebuah bank dalam keadaan yang sangat tragik dipercayai akibat angkara khianat di Taman Tampoi Utama, Tampoi, Johor Bahru awal pagi tadi.

Memetik kenyataan Persatuan Haiwan Malaysia di laman Facebook page memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku pada 12 tengah malam semasa penutupan bidai besi secara automatik dan disedari orang awam kira-kira 3 pagi sebelum memaklumkannya kepada persatuan sekitar 4.30 pagi.

“Setiap bank akan menutup pintu roller shutter di ruang mesin ATM (mesin juruwang automatik) bermula 12 tengah malam dan hanya membukanya semula pada 6 pagi,” menurut kenyaaan persatuan tersebut.

Menurut persatuan itu, kes kematian kucing itu seolah-olah sengaja dilakukan dengan cara menahan kucing malang itu sewaktu roller shutter sedang turun perlahan untuk menutup pintu ruang mesin ATM.

Iklan

“Kucing tidak akan tunggu di satu lokasi jika berlaku bunyi bising. Sudah tentu bunyi roller shutter itu kuat sewaktu turun akan memeranjatkan kucing dan kucing akan berlari pergi.

“Jadi, seolah-olah badan kucing sengaja ditahan hingga leher kucing tersepit,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi persatuan.

Selain mengharapkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak bank untuk menyaksikan kejadian sebenar, persatuan turut meminta mana-mana individu yang melihat kejadian itu supaya berkongsi maklumat dengan segera melalui talian 011-20901097 agar pelakunya dapat dijejaki.

Iklan