RASANYA pasti ramai yang menunggu kemas kini terkini berkenaan iSinar bukan?

Sedikit berita baik untuk korang! Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini telah mengumumkan bahawa permohonan i-Sinar yang dibuat sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran pula akan dibuat bermula hari ini.

Seperti apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 11 Februari lalu memaklumkan KWSP dalam proses memansuhkan syarat permohonan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terbaharu, KWSP dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan dan yang berstatus tidak lulus, sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dibuat.

“KWSP menghargai kesabaran ahli ketika proses ini sedang berjalan.

“Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, permohonan baharu yang mencerminkan pemansuhan kriteria akan dibuka bermula 8 Mac 2021 kepada semua ahli di bawah umur 55 tahun, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1 ahli. Ia juga termasuk ahli KWSP bukan warganegara Malaysia.

Pencarum KWSP kategori 1 layak dapat kelulusan automatik tapi perlu mohon online

Permohonan baharu ini akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh ini, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

“Bermula 8 Mac 2021 juga, ahli akan diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online,” jelasnya.

Jumlah pengeluaran i-Sinar dan jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, iaitu:

Iklan

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Iklan

Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.

Namun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000 dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.