LUAHAN pemandu dan penghantar Grab berhubung beberapa isu mendapat perhatian Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluangkan masa bertemu sekumpulan daripada mereka di Pusat Pemandu Grab di Petaling Jaya semalam.

Dalam hantaran di Facebooknya, Perdana Menteri berkata, beliau akan mengkaji dan berbincang dengan kementerian berkaitan berhubung masalah kesukaran pemandu dan penghantar Grab mendapatkan pinjaman kewangan serta kekangan bantuan kerajaan seperti subsidi minyak.

Katanya, kebanyakan pemandu dan penghantar Grab juga melahirkan kebimbangan mengenai peraturan Lesen Pengendali Sementara (LPS) dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan atau p-hailing, yang khabarnya akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan (MOT) sedikit masa lagi.

“Saya akan meminta MOT meneliti semula perkara ini dengan seberapa segera,” katanya.

Menyifatkan golongan berkenaan sebagai petugas barisan hadapan tidak didendang, Muhyiddin menzahirkan rasa bangga dengan semangat dan dedikasi mereka bagi mencari rezeki untuk keluarga demi kelangsungan hidup terutama sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Perdana Menteri turut menghargai sumbangan besar para pemandu dan penghantar dalam menjana ekonomi negara.

Luahan hati pemandu dan penghantar Grab dapat perhatian PM

Muhyiddin berkata mereka bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri, malah membantu memperluaskan rantaian ekonomi para peniaga lain.

“Mendengar luahan hati mereka, saya dapat tahu rata-ratanya menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik dan stabil. Namun tidak mahu berpeluk tubuh, mereka menjadi pemandu/rider Grab, sekurang-kurangnya dapatlah membantu menampung kehidupan bersama keluarga.

“Ada antara mereka terpaksa memandu atau menghantar pesanan pelanggan lebih lapan jam sehari. Ramai juga yang telah menjadi pemandu atau riders sepenuh masa setelah hilang pekerjaan tetap,” tulisnya lagi.

Perdana Menteri turut berkongsi bahawa mereka memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 ke RM5,000 sebulan sebelum wabak Covid-19 namun, kini hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 ke RM2,500 sebulan atau kurang, bergantung kepada kekerapan perjalanan yang dibuat.

Luahan hati pemandu dan penghantar Grab dapat perhatian PM

Iklan

“Sekarang ini kalau dapat RM100 sehari pun mereka mampu tersenyum tetapi jika mereka mendapat RM150 sehari, bolehlah mereka tersenyum lebar,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau juga berpeluang bertemu pasangan suami isteri orang kelainan upaya (OKU) Siti Fatimah dan suaminya Nijaz Nathan Vellasamy yang tidak menjadikan kekurangan sebagai penghalang untuk mencari rezeki.

Beliau difahamkan terdapat lebih 200 pemandu OKU beroperasi dalam perkhidmatan Grab ketika ini.

Iklan

“Mereka meminta kerajaan memberikan sokongan kepada pemandu OKU dengan mempermudahkan syarat pengambilan lesen pemandu PSV (Kenderaan Pengangkutan Awam) yang dikatakan amat ketat dan membolehkan mereka bekerja seperti pemandu e-hailing lain,” katanya.

Muhyiddin turut menitipkan pesanan buat para pemandu dan penghantar supaya menjaga keselamatan diri ketika mencari rezeki serta tidak berputus asa atau cepat mengalah apabila berdepan dugaan.

Luahan hati pemandu dan penghantar Grab dapat perhatian PM

“Saya ingin berpesan kepada semua pemandu/rider, agar dalam pada gigih mencari rezeki, jangan sesekali lupa menjaga keselamatan diri.

“Apa juga cabaran dan dugaan yang datang jangan putus asa atau cepat mengalah. Sematkan semangat ini dalam diri.

“Semoga Allah memberkati usaha anda semua dan melindungi kita daripada sebarang musibah,” pesannya ringkas di akhir posting tersebut.