Makanan tin berkulat, sayur lembik jejas kebersihan peti ais

IMG_20200528_180639_522
IMG_20200528_180639_522
A
A
A

HARI ini genap hari kelima umat Islam menyambut Syawal. Disebabkan masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mesti kebanyakan daripada kita kekal berada di kediaman masing-masing.

Maklumlah, aktiviti menziarah adalah tidak dibenarkan lagi. Justeru, alang-alang duduk di rumah barangkali kita boleh melakukan aktiviti berfaedah seperti mencuci peti ais.

Ingat, kecantikan dapur bukan sahaja dinilai dari aspek penggunaan kabinet berkualiti ataupun dekorasi mewah semata-mata, tetapi ia turut melibatkan kebersihan di segenap ruang tersebut.

Bagaimanapun, menyentuh mengenai kebersihan, sebahagian besar individu lebih cenderung melakukan proses pembersihan secara ‘luaran’ seperti mop lantai dan mengelap kabinet sehingga mengabaikan kebersihan di dalam peti ais.

Mungkin kita beranggapan kelengkapan dapur tersebut tidak perlu dititikberatkan kerana ia terlindung di sebalik pintu.

Namun, tahukah anda ruang peti yang kotor dan tercemar dek sisa makanan ataupun sayuran layu, lembik dan busuk boleh menjejaskan kualiti udara di dalamnya.

Justeru, pada edisi kali ini, SinarPlus berkongsi 5 tip mudah dan murah bagi memastikan kebersihan dan susun atur di dalam peti ais nampak kemas.

1. Cuci seminggu sekali

Mencuci peti ais wajar dilakukan sekali seminggu bagi menghilangkan kesan kotoran dan bau yang kurang menyenangkan.

Sebelum proses mencuci, kosongkan ruang di dalam peti ais mengikut rak. Kemudian kenal pasti baki makanan, bahan basah kering ataupun sayur-sayuran yang rosak dan perlu dibuang.

Selepas itu, lap bahagian dalam peti sejuk dengan menggunakan kain bersih dan semburkan air yang dicampur cuka.

Cuka ialah bahan cuci yang selamat digunakan dan pantas menanggalkan kotoran.

2. Aroma daun pandan

Selepas proses mencuci bagi mendapatkan bau harum ambil tiga helai daun pandan, ikat dan letak di dalam peti ais.

3. Susun ikut rak

Bagi memudahkan proses mengambil barang di dalam peti ais, susun bahan-bahan mengikut rak dan bahagian yang betul.

Misalnya, letakkan telur di bahagian paling atas tepi pintu ais memandangkan ia mudah pecah jika terhempap dengan barangan lain.

Sementara itu, pes cili, halia ataupun bawang pula disusun dengan kemas di rak pertama bagi memudahkan anda mengambilnya ketika memasak.

4. Produk cecair

Produk dalam bentuk pek atau tin yang telah dibuka elok dipindahkan ke dalam bekas atau botol kaca.

Jangan sesekali simpan tin atau pek asal di dalam peti kerana bimbang berkulat hingga boleh merosakkan kualiti makanan.

5. Penyimpanan sayur

Satu tip mudah adalah dengan menyimpan sayur di dalam bekas yang beralaskan tisu lembap. Asing atau potong sayur mengikut saiz pilihan sebelum disimpan di dalam bekas tersebut.

Kaedah berkenaan membantu mengelakkan sayur-sayuran menjadi lembik dan cepat rosak.

Selamat mencuba!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca