PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bakal menganjurkan MATTA Fair Dalam Talian 2020 dari 23 hingga 30 Sept ini yang menawarkan pakej percutian domestik dan antarabangsa daripada 100 pempamer.

Memetik portal media tempatan, Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang berkata, platform yang kali pertama diperkenalkan itu membolehkan ejen pelancongan, pengusaha pelancongan dan penyedia perkhidmatan pelancongan menjual pakej-pakej percutian terus kepada pengguna dengan memberi tumpuan kepada pelancongan domestik.

Pameran dalam talian berkenaan adalah satu inisiatif baharu MATTA untuk memenuhi kehendak pelancong Malaysia yang mencari percutian menarik seperti pengembaraan unik atau percutian keluarga melalui lebih 1,000 pakej percutian dan pelancongan menarik yang ditawarkan.

Iklan
Iklan

“Pandemik Covid-19 secara dasarnya telah mengubah masa depan sektor pelancongan dan kami berada dalam kedudukan untuk merebut peluang baharu dengan mengubah dan memungkinkan penemuan dan tempahan produk serta perkhidmatan pelancongan melalui platform digital.

“MATTA Fair Dalam Talian memberi isyarat terhadap usaha MATTA untuk memulakan pemulihan akibat kesan pandemik terhadap industri pelancongan serta menimbulkan minat dalam kalangan pelancong ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan MATTA Fair dalam talian di www.mattafaironline.com.my atau mengikuti laman Facebook dan Instagram, masing-masing di @mattafairkualalumpur dan @mattafair untuk maklumat terkini.