MCMC tidak ‘diam’! Segera tangani masalah capaian internet

March 5, 2021
Oleh Meen

DALAM keadaan sekarang kemudahan internet adalah satu keperluan utama dan ia sangat mendesak. Jika terputus sahaja capaian internet mulalah kita resah gelisah. Betul tak?

Tambahan pula kini ia juga sangat diperlukan untuk pelbagai perkara seperti pembelajaran, perniagaan mahupun pekerjaan seharian yang lebih lancar.

Iklan

Oleh demikian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil beberapa tindakan dalam usaha menyelesaikan masalah capaian aduan Internet yang dihadapi oleh penduduk di seluruh negara.

Berikut adalah tindakan-tindakan yang telah diambil di lokasi-lokasi seperti berikut:

1. Kampung Orang Asli Sungai Belankan Tanjong Sepat, Kuala Langat  

Iklan

Susulan laporan oleh akhbar tempatan yang membangkitkan kesukaran seorang pelajar remaja perempuan Orang Asli suku Mah Meri untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan capaian Internet lemah, perkara tersebut telah disiasat oleh MCMC.

Kampung Orang Asli Sungai Belankan Tanjong Sepat,

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati, kedudukan rumah pengadu di Kampung Sungai Belankan terletak jauh terpencil di penghujung kampung. satu ujian liputan telah dijalankan pada akhir Februari lalu dan didapati kualiti liputan selular di rumah pengadu adalah tidak memuaskan.

Iklan

Sebagai penyelesaian jangka panjang, sebuah menara komunikasi yang terletak berhampiran di kawasan rumah pengadu akan dinaik taraf kepada 4G di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bakal bermula pada suku ke-2 2021.

2. Kampung Orang Asli Lakai Jelebu  

Masalah kesukaran sekumpulan pelajar Orang Asli di Kampung Orang Asli Lakai Jelebu untuk mengikuti PdPR akibat ketiadaan capaian Internet yang tular baru-baru ini juga telah disiasat oleh pihak Suruhanjaya.

Siasatan telah dijalankan di kawasan aduan baru-baru ini dan mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai capaian Internet 4G.

Di samping itu, satu perjumpaan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Jelebu turut diadakan dengan pihak pengadu.

Penggunaan teknologi VSAT (Very Small Aperture Terminal) akan dilaksanakan dan dijangka siap pada hujung tahun 2021 dan inisiatif ini akan dapat memberi manfaat capaian Internet di kawasan aduan kelak.

3. Projek Perumahan Rakyat Melana Indah, Tampoi  

Masalah capaian Internet di Projek Perumahan Rakyat Melana Indah, Tampoi yang juga diterbitkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini telah disusuli dengan tindakan oleh pihak MCMC.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, usaha untuk memperbaiki pengoptimuman kekuatan isyarat akan dilakukan dan dijangka selesai dalam suku pertama 2021.

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, syarikat penyedia perkhidmatan di kawasan berkenaan akan menambah jalur spektrum 4G bagi meningkatkan capaian Internet di kawasan aduan.

4. Kampung Sungai Chengkeh, Serkat Pontian  

Mengenai kesukaran tiga adik-beradik untuk mengikuti sesi PdPR kerana capaian Internet lemah yang dilaporkan oleh media, pihak MCMC telah turun padang untuk meneliti masalah yang dihadapi.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, pihak Celcom dan U Mobile telah melakukan kerja-kerja penambahbaikan pada pencawang pada 24 Februari lalu bagi meningkatkan kualiti liputan 4G di kawasan yang dilaporkan.

Kerja-kerja penambahbaikan berkenaan dijangka siap pada minggu ketiga bulan Mac 2021.

Untuk penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara baharu akan dibina di bawah pelan JENDELA dan kerja-kerja pembinaan menara akan bermula pada hujung tahun 2021.

Sehubungan itu, MCMC akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan-tindakan yang telah diambil dan sekiranya perlu, mengambil langkah susulan agar masalah capaian Internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh sekali gus membolehkan Internet dinikmati oleh semua pengguna.

Iklan

About Meen

Biodata Penulis
Iklan