SEPERTI apa yang dijangka! Polis telah menjangkakan lebih ramai mangsa tampil untuk membuat laporan terhadap pendakwah selebriti yang kini sedang ditahan reman bagi membantu siasatan kes dakwaan merogol seorang gadis.

Terbaharu, seorang lagi wanita tampil membuat laporan polis semalam berhubung dakwaan kes seksual membabitkan seorang pendakwah selebriti yang kini beritanya semakin tular di media sosial.

Wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai jururawat swasta di Kuala Lumpur mendakwa menjadi mangsa pada Disember tahun lalu selepas mula berkenalan dengan suspek pada Mac 2018.

Berdasarkan laporan akhbar, antara beberapa mangsa dan modus operandi yang digunakan adalah seperti berikut:

1. Pelajar Kolej

  • Dipelawa ke rumah suspek di Damansara Perdana untuk mengajarnya ilmu pemasaran perniagaan.
  • Dicabul dan dipaksa melakukan seks oral.
  • Berusia 22 tahun.
  • Kejadian berlaku kira-kira 1 pagi pada 17 Oktober 2020

2. Guru sebuah sekolah di lembah Klang

  • Dipelawa keluar makan malam untuk sambut hari jadi sebelum diajak ke rumah dan dirogol.
  • Berusia 22 tahun.
  • Kejadian berlaku kira-kira 9 malam pada 22 Oktober 2020

3. Jururawat swasta

  • Berkenalan Mac 2018
  • Berusia 26 tahun.
  • Menjadi mangsa pada Disember 2019 setelah berkenalan lebih setahun.

Memetik laporan media tempatan, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, susulan laporan yang dibuat wanita itu, setakat ini pihaknya telah menerima sembilan laporan polis.

Iklan

“Kita masih lagi menjalankan siasatan dan akan lihat semua sudut dengan mengumpul maklumat berkaitan.

“Polis akan menjalankan siasatan dengan adil dan semua maklumat yang diperoleh akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut,” katanya.

Ketika ditanya modus operandi suspek, Noor Azam berkata, mangsa dan suspek berkenalan di media sosial sebelum berpura-pura mengajak mangsa keluar makan hingga dibawa pulang ke rumahnya.

Iklan

Polis Petaling Jaya sebelum ini menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul).