KEBANYAKAN kenderaan kini dilihat menggunakan lampu bercahaya putih lebih cerah jenis High Intesity Discharge (HID) untuk pemanduan yang lebih jelas.

Namun demikian, sedarkah anda terdapat bahaya yang menanti kerana lampu jenis itu boleh meningkatkan risiko berlakunya kemalangan jalan raya?

Bukan itu sahaja, tindakan tersebut juga akan menyebabkan nyawa kita melayang dan membahayakan pengguna lain.

Public Health Malaysia (PHM) dalam entri terbaharunya mengulas mengenai bahaya HID.

Ujar PHM, walaupun pandangan lebih jelas dengan menggunakan lampu putih terang dan jarak penglihatan yang lebih luas, tetapi itu bukan alasan kukuh untuk terus menggunakannya.

“Penggunaan lampu putih HID sememangnya boleh menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya lain.

“Cahaya lampu putih yang terlalu terang menyebabkan pandangan menjadi silau dan ini boleh menyebabkan risiko kemalangan maut,” beritahu PHM.

Lebih parah, keadaan akan menjadi lebih serius pada waktu hujan kerana cahaya putih tersebut akan diserakkan oleh titisan hujan sehingga menyebabkan penglihatan pemandu lain terganggu.

“Ketahuilah bahawa kemalangan jalan raya merupakan antara pembunuh utama rakyat Malaysia dan penggunaan lampu putih HID adalah jalan pintas ke liang lahad bagi pemandu lain,” tambah PHM.

AKTA

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia menerusi laman web www.jpj.gov.my juga memaklumkan, mana-mana kenderaan yang menggunakan lampu HID yang yang dipasang secara aksesori retorit boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959.

Iklan

Merujuk akta tersebut, ia ditafsirkan sebagai keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di atas jalan raya dan semua bahagian dan aksesorinya hendaklah sentiasa tidak mengakibatkan atau memungkinkan bahaya kepada orang di dalam kenderaan atau di atas jalan raya.

Jika disabit kesalahan, pemilik kenderaan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih 6 bulan di bawah seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebenarnya, isu berkenaan bukanlah satu ‘krisis’ baharu kerana Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah menyuarakan akan kebimbangan mengenainya sejak tahun 2004 lagi.

Iklan

Oleh itu, sekiranya pembaca merupakan pemandu kenderaan dengan lampu putih HID, SinarPlus ingat menasihati anda agar ambil tindakan segera untuk menukar lampu tersebut.

Perhatian kepada pemandu dengan lampu putih terang, Walaupun pandangan anda lebih jelas dengan jarak penglihatan yang…

Posted by Public Health Malaysia on Wednesday, April 7, 2021

 

Ingat, anda tidak bersendirian di atas jalan raya tau!