BERITA baik buat korang yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota menawarkan sejumlah 1,122 peluang perniagaan kepada golongan muda khusus bagi mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, peluang dan inisiatif itu diwujudkan selain membantu usahawan muda juga bagi memulih semula ekonomi negara dengan merancakkan aktiviti pembelian kalangan pelancong domestik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Boleh dikatakan hampir 80 hingga 90 peratus kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah dianggap zon hijau.

Oleh itu, Kementerian ingin mengajak dan menggalakkan orang ramai kembali bertumpu ke pusat perniagaan.

Program ini juga merupakan salah satu usaha untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Antara perincian program Pembangunan Usahawan Anak Muda adalah seperti berikut:

Iklan
  • Program ini memberi keutamaan kepada anak muda yang cenderung dan mempunyai minat mendalam dalam bidang keusahawanan.
  • Peluang ini dibuka kepada usahawan muda termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan yang ingin menceburi bidang keusahawanan.
  • 1,000 lokasi yang akan dibuka secara berperingkat.
  • Sebanyak 169 lokasi strategik telah dikenal pasti untuk dijadikan ruang perniagaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  • 80 peserta akan memulakan operasi bermula Julai hingga Disember ini.
  • Program itu akan berterusan sehingga tahun 2023.
  • Terbuka kepada anak muda berumur seawal 18 tahun hingga 35 tahun.
  • Kios yang disediakan adalah termasuk kemudahan fasiliti bersesuaian jenis perniagaan dengan reka bentuk yang moden, teratur, kemas dan bersih.
  • Antara jenis perniagaan yang boleh dibuat seperti makanan dan minuman; pusat gajet dan teknologi maklumat; cenderamata; kraftangan; buku; fesyen dan perhiasan serta produk kosmetik dan kecantikan.

Selain itu, buat korang yang berminat menyertai program ini, korang akan dikenakan bayaran sewaan nominal mengikut keluasan ruang niaga, mendapat green lane bagi permohonan lesen perniagaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), membantu padanan bagi perniagaan francais serta bantuan dan akses dalam mengaplikasikan ekonomi digital.

Bagi lokasi kios di kawasan perhentian bas dan teksi pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan setiap lokasi mempunyai ruang bebas halangan 1.5 meter lebar paling minimum bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta bagi memberikan laluan kepada pengguna terutamanya orang kurang upaya.

Iklan

Kalau korang berminat, boleh memohon secara online di https://usahawanwp.kwp.gov.my mulai hari ini. Semakan status permohonan boleh dilihat di laman web yang sama bermula 1 Ogos ini.