SEJAJAR dengan kepatuhan terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh pihak kerajaan, Zoo Negara terpaksa mengambil keputusan untuk menutup sementara operasi mereka bermula 13 Januari lalu.

Setelah hampir dua bulan tidak beroperasi, Zoo Negara baru-baru ini dilaporkan akan dibuka kembali pada Jumaat ini.

Memetik laporan akhbar tempatan, sempena pembukaan semula operasi mereka, pihak pengurusan Zoo Negara kini menawarkan diskaun 20 peratus kepada pengunjung Jumaat ini tambahan pula PKP di Lembah Klang akan ditamatkan.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata, diskaun itu bagaimanapun hanya sah untuk hari tersebut dan ia juga layak untuk semua.

“Diskaun 20 peratus ini hanya sah untuk hari Jumaat ini sahaja. Semua pengunjung layak menikmati diskaun ini termasuk pelancong tempatan, luar negara, kanak-kanak dan juga warga emas.

“Justeru, saya menjemput semua untuk hadir pada Jumaat ini kerana kami telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung,”katanya.

Pelepasan ikan air tawar di Tasik Tunku Abdul Rahman hari ini bersempena dengan aktiviti Jom Memancing @ Zoo…

Posted by Zoo Negara Malaysia on Wednesday, 3 March 2021

Sementara itu, pelbagai aktiviti akan disediakan sempena pembukaan semula Zoo tersebut termasuk persembahan haiwan dan aktviti memancing.

Untuk aktiviti persembahan haiwan atau animal show, pihak Zoo Negara mengehadkan jumlah penonton kira-kira 90 orang pada satu-satu masa.

Perkara tersebut adalah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan pengunjung juga perlu patuh pada arahan tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Iklan

Selain itu, pihak Zoo Negara juga hanya membenarkan kira-kira 50 peratus pengunjung untuk melawat Zoo Negara pada satu-satu masa.

“Selalunya jumlah pengunjung sekitar 5,000 dan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini kita hanya benarkan kira-kira 2,500 orang pengunjung pada satu-satu masa.

“Kami berharap orang ramai dapat merebut peluang dengan tawaran diskaun ini dan nasihat kami, patuhilah SOP sepanjang anda berada di dalam Zoo Negara,” ujarnya

Jadi, pada korang yang berkelapangan dan ingin membawa keluarga bersiar-siar Jumaat ini atau pada hujung minggu, apa kata jadikan Zoo Negara salah satu daripada senarai destinasi tersebut.

Iklan

Selamat bercuti!

Sumber : Kosmo