PULANGAN paling rendah Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diumumkan hari ini membuatkan rata-rata pelanggan merungut dan pelbagai pihak dilihat tampil menyuarakan pandangan masing-masing.

Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) telah mengumumkan pembayaran pendapatan sehingga 5.00 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan 31 Disember 2020.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, pengumuman berkenaan merangkumi pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit dan pembayaran khas ehsan 0.75 sen seunit.

Peminjam ASB bimbang dividen tidak cukup ‘cover’ jumlah bayaran balik bank

Namun, apa yang membimbangkan orang ramai adalah golongan yang membuat pinjaman dan pembiayaan ASB yang mana mereka kini terpaksa membuat bayaran balik setiap bulan mengikut kiraan jumlah pinjaman yang telah diambil.

Jika dilihat kepada dividen yang bakal diperoleh ternyata jumlah tersebut tidak mencukupi dengan jumlah bayaran tahunan yang terpaksa dijelaskan.

Mana tidaknya, terdapat juga dalam kalangan mereka yang membuat pinjaman ASB sebagai tabung simpanan hari tua dan mereka kebanyakannya akan membuat bayaran penuh untuk satu tahun yang mana bergantung sepenuhnya pada dividen tahunan.

Ada juga yang telah membuat pinjaman maksima sebanyak RM200,000 dan jika dihitung secara kasar mereka perlu membuat bayaran balik kepada pihak bank sebanyak hampir RM14,000 dalam tempoh setahun.

Peminjam ASB bimbang dividen tidak cukup ‘cover’ jumlah bayaran balik bank

Iklan

Apa yang boleh SinarPlus sarankan adalah cuba membuat rundingan dan dapatkan khidmat nasihat kepada pihak bank untuk membuat kiraan yang lebih tepat dan cara pembayaran balik pinjaman.

SinarPlus juga suka untuk menasihatkan kepada orang ramai yang ingin membuat pinjaman dan pembiayaan ASB perlulah mengikut kemampuan dan ukur baju di badan sendiri untuk mengelakkan diri daripada terbeban dengan masalah kewangan pada masa akan datang.

Iklan

Kita perlu faham mengenai kelayakan dan kemampuan untuk membayar balik pinjaman yang dilakukan berikutan pendapatan yang diperoleh.

Selain itu kita juga perlu mengambil kira kos-kos pembiayaan lain yang kita perlu langsaikan seperti membayar ansuran kereta, taska anak-anak dan sebagainya pada setiap bulan.

Jangan terlalu optimis kerana pelaburan ada kalanya memberikan pulangan tidak menentu ada naik dan turun.