PENCINTA kucing tentunya sedang bersedih dengan berita yang mana seekor kucing yang menjadikan Hagia Sophia di Istanbul sebagai tempat tinggalnya telah pergi buat selama-lamanya.

Kucing Hagia Sophia bernama Gli telah dirawat di sebuah klinik haiwan swasta sejak 24 September lalu malangnya mati kerana usia tua.

Berita kematian Gli juga dikongsikan oleh Datuk Bandar Istanbul, Ali Yerlikaya dalam catatan Twitter miliknya.

Menurut ciapan tersebut, Yerlikaya dilihat memuat naik gambar kucing itu dan mengatakan bahawa beliau amat sedih dan sukar untuk melupakannya.

Pada awal tahun ini, sedang Hagia Sophia menjalani kerja-kerja mengubah bangunan itu dari sebuah muzium kepada masjid, Gli tidak langsung terjejas dengan kerja-kerja pembinaan yang sedang dibuat. Seni bina bersejarah itu sentiasa dianggap sebagai rumah baginya.

Solat Jumaat berjemaah pada 24 Julai di Hagia Sophia menandakan kali pertama ibadah dilakukan di sana sejak 86 tahun.

Hagia Sophia dijadikan sebuah gereja selama 916 tahun sehingga Istanbul ditawan dan menjadi sebuah masjid dari 1453 hingga 1934, iaitu hampir 500 tahun dan baru-baru ini menjadi sebuah muzium selama 86 tahun.

'Penjaga' Hagia Sophia dalam kenangan, 8 fakta mengenai Gli tentang kisah hidupnya

Iklan

Sepanjang beberapa tahun lalu, Hagia Sophia menjadi rumah kepada Gli, yang akan terus dikenang pengunjung ke masjid itu.

Tetapi Gli yang didakwa berumur 16 tahun pergi selepas menjalani kehidupan yang penuh warna-warni, malah ia sangat disayangi, baik mereka yang pernah melawat Hagia Sophia dan bertemunya, atau pun mereka yang hanya memerhati dan mengagumi dari jauh.

Iklan

Mari kita imbas kisah Gli yang pernah mencuri hati kita semua.

  • Gli dilahirkan pada 2004. Ibunya, Sofi, juga penghuni Hagia Sophia.
  • Gli dilahirkan tiga beradik, iaitu Pati (jantan) dan Kizim (betina).
  • Nama Gli pada mulanya ialah Gri (bermaksud kelabu, atau Grey dalam bahasa Inggeris). Nama itu diberikan oleh salah seorang pekerja yang bertugas di Hagia Sophia.
  • Nama itu kemudiannya berubah menjadi Gli, bermaksud penyatuan kasih sayang.
  • Gli hanya pernah melahirkan seekor anak. Namun, anaknya mati selepas dilanggar bas pelancong.
  • Gli mula popular di seluruh dunia selepas ia difoto bersama bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden Turki, Tayyip Erdogan.
  • Gli mula jatuh sakit dan dirawat di sebuah klinik haiwan di Istanbul sejak hujung September lalu.
  • Gli mati jam 8 malam Sabtu, kerana sakit tua.

Sumber rujukan : astroawani