Perang balik kampung beraya sampai suami ugut cerai? Ini pencerahan agamawan

balik kampung
balik kampung
A
A
A

Perang balik kampung beraya sampai suami ugut cerai? Ini pencerahan agamawan

ISU balik kampung ketika hari raya antara masalah yang sering dihadapi oleh pasangan suami isteri.

Saban tahun, isu balik kampung pasti akan dibangkitkan. Walaupun nampak remeh, tetapi perkara itu boleh mencetuskan perang dingin di antara pasangan.

"Asyik-asyik balik kampung awak saja kalau beraya. Saya pun teringin juga merasa raya pertama di kampung saya."

Demikian antara luahan yang acap kali kita dengar. Benar, ia bukan kisah rekaan semata-mata. Hakikatnya memang ada segelintir pasangan suami isteri yang berhadapan dengan masalah berkenaan.

Terdapat sebilangan pasangan yang terpaksa pulang ke kampung suami atau isteri masing-masing setiap kali tibanya raya pertama tanpa gagal.

Malah, ada yang enggan bergiliran untuk beraya di rumah mertua atas pelbagai alasan.

Lebih-lebih lagi ironinya apabila seorang isteri berdepan dengan dilema berkenaan.

Hendak melawan cakap suami, bimbang dikatanya derhaka. Apabila bersuara tentang mengapa perlu beraya di kampung suami, ada sahaja jawapan lelaki berkenaan yang mematahkan hujahnya.

Malah, ada yang menggunakan alasan ibunya tidak mengizinkan anak lelakinya beraya di kampung isteri terlebih dahulu.

Baca juga Jom praktik! Elak perang besar suami isteri, tiga masa ini paling sesuai berbincang

Sudahnya enggan bergaduh dan bermasam muka, isteri tadi dengan paksa relanya hanya mampu menelan kepahitan yang dirasakan. Diri sendiri menanggung rasa terkilan dan terguris hati dengan sikap pasangan.

Dari satu segi, memang terdapat pasangan yang mengambil keputusan untuk pulang ke kampung sendiri tanpa kehadiran suami di sisi, tetapi ia mestilah mendapat lampu hijau daripada imam masing-masing.

Namun begitu, ada cerita kurang enak pula apabila terdapat suami yang kurang bersetuju dengan perkara itu dan senang-senang sahaja bibirnya mahu mengungkapkan lafaz perpisahan gara-gara isteri meminta keizinan untuk pulang ke rumah ibu bapanya.

Dalam hal itu, penceramah bebas, Nur Aqidah Mawardi menjelaskan, mengikut hukum asal, seorang isteri wajib taat kepada perintah suami selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Bagaimanapun, katanya, janganlah sampai mahu menjatuhkan talak andai isteri membuat permohonan meminta izin suami untuk dirinya pulang ke rumah ibu bapanya.

"Wahai segelintir suami, anda berkahwin dengan anak orang, bukan anak buluh betung. Sepatutnya anda kena mainkan peranan bercakap dengan ibu kalian tanpa membabitkan isteri.

"Sebagai contoh, ‘mak, abang raya pertama baru balik kampung ya sebab tahun ni abang teringin nak raya dengan mertua abang abang’.

"Bila cakap seperti itu, mak anda akan lebih faham sebab sebagai ibu, pasti (dia) hendak anaknya bahagia," ujarnya.

Dalam pada itu, Ustazah Nur Aqidah turut menitipkan pesanan kepada para ibu mertua supaya menjadi insan yang sentiasa memberi sokongan kepada anak masing-masing yang mahu meraikan pasangan mereka.

"Wahai para ibu yang sudah punya menantu, ketahuilah anak kita sudah berkahwin dengan anak orang lain. Jadilah ibu yang support untuk anak-anak meraikan pasangannya.

"(Bayangkan) andai satu hari, anak perempuan kita diperlakukan sedemikian rupa, apa perasaan kita?

"Jika kita perlakukan ‘buruk’ (terhadap) menantu, ingatlah bahawa kita ada anak perempuan, adik perempuan atau saudara perempuan. ALLAH MAHA ADIL," titipnya.

Pesanan murni itu bukan sahaja untuk kaum ibu mertua sahaja, sebaliknya, pendakwah itu menjelaskan, ia turut terpakai kepada golongan suami.

Bukan apa, mereka juga merupakan bapa atau bakal ayah kepada anak perempuan.

"Jangan tanya kenapa andai satu hari anak perempuanmu menjadi hamba abdi suaminya jika kamu perlakukan isteri mu lebih teruk daripada hamba abdi.

"Jangan (begitu) mudah melabelkan anak kita sebagai anak derhaka, parah hidup anak itu nanti," ujarnya.

Justeru, solusi terbaik bagi menangani perang pulang beraya, Ustazah Nur Aqidah menasihatkan agar pasangan suami isteri mengambil sikap bertoleransi dan berlapang dada.

"Sama-samalah kita berazam apabila menjadi waima menantu mahupun mertua atau apa sahaja peranan, berusahalah menjadi yang terbaik semampunya, tetapi jangan sampai memakan diri.

"Seperkara lagi, berdoalah dan meminta agar kita semua dipelihara oleh Allahu ya Hafiz," ungkapnya.

Baca juga “Kami share dari grup je…” Dikecam rakam video pemandu lori sakit jantung, pasangan suami isteri tampil nafi dakwaan

Suami isteri nak murah rezeki, amalkan 5 petua kasih sayang ini

TIP MEMUJUK SUAMI

1. Berikan masa dan ruang

Kedua pihak masih berada dalam keadaan marah dan ego, masa dan ruang diperlukan untuk berfikir sedalamnya punca masalah serta penyelesaian yang betul.

Apabila masing-masing bersendirian, secara automatik kesedaran bertambah untuk mengeratka lagi kasih sayang antara satu sama lain.

2. Masakkan makanan kegemarannya

Ya benar kata orang untuk pikat suami, jagalah perutnya iaitu makan dan minumnya.

3. Berikan kad atau surat cinta

Ini antara kaedah manual yang sangat comel dan sudah ditelan dek zaman namun ia mempunyai aura yang hebat sebenarnya!

Luahkan kemaafan dan kerinduan pada suami dalam kad itu. Lebih elok kad iu ditampal gambar kalian beruda sewaktu awal perkenalan atau saat-saat manis bersama.

4. Berikan ciuman dan pelukan

Cara ini sebenarnya paling manis dalam perhubungan. Ia dapat membuatkan sang suami tersenyum kembali.

Angkara curang, suami ini buat majlis kesyukuran malukan isteri

5. Rancang kejutan

Rancang kejutan dengan teliti. Boleh belikan kek atau makanan kegemarannya. Boleh juga berpura-pura sakit dan biarkan kawan bagitahu kepada si dia. Boleh lihat reaksi kasih sayangnya.

Selain itu boleh juga belikan hadiah barangan aksesori kegemaran sama ada aksesori kereta, baju atau apa sahaja yang dapat menggembirakannya.

6. Berikan kata-kata manis dan sokongan

Manis bukan jiwang cukuplah sekadar bergurau senda atau usik si dia dengan panggilan manja yang hanya kalian saja tahu.

Baca juga Ibu hamil menangis mengidam makan roti buaya, mujur mak mentua sanggup buatkan

7. Menangis

Benar, air mata wanita adalah sesuatu yang mensyahdukan. Cubalah minta balik beraya rumah mak anda sambil mengeluarkan air mata dan hingus. Pasti dicop sebagai dramatik.

Tapi inilah yang melembutkan hati sang lelaki. Mereka pasti berlembut hati melihat air mata insan tersayang bernama wanita.

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca