BOLEH dikatakan setiap kali menyambut sebarang perayaan, terasa seperti satu keperluan membeli baju baharu.

Perkara itu sudah menjadi tradisi tidak mengira sama ada sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali atau Krismas.

Mungkin kerana tertarik dengan tawaran harga atau menambah koleksi, tetapi begitulah gelagat masyarakat setiap kali musim perayaan tiba.

Namun, yang menjadi persoalan, adakah pakaian baharu tersebut perlu dibasuh terlebih dahulu?

Segelintir tentu sahaja ingin segera memakai tanpa menghiraukan jika dicuci dahulu atau tidak.

Basuh baju baharu dengan menggunakan pencuci tanpa bahan pewangi tambahan.

Bagaimanapun, memetik perkongsian Kompas.com, perkara itu bergantung kepada jenis kulit individu.

Sekiranya memiliki kulit yang mudah berjerawat, kemerah-merahan atau sensitif, disarankan pakaian tersebut dibasuh menggunakan sabun pencuci tanpa pewangi.

Hal itu difahamkan kerana terdapat kandungan kimia seperti pewarna atau pengawet yang berkemungkinan akan mengakibatkan gangguan pada kulit.

Kata pakar perubatan dermatologi, Azadeh Shirazi, rasa gatal atau perubahan warna kulit antara tanda-tanda alahan.

“Pakaian mengandungi bahan yang akan memberi tindak balas kepada kulit. Justeru, bahan kimia tersebut akan meresap ke dalam kulit,” jelas beliau.

Beliau turut tidak menolak jika perkara berkenaan berlaku kerana terdapat ‘gangguan’ lain yang mendorong kulit mengalami alahan.

“Saya sering melihat ini pada baju sukan. Disebabkan peluh dan geseran akan mendorong bahan kimia mengenai kawasan kulit,” terangnya.

Iklan

Pada masa sama, beliau menasihatkan agar tidak terlalu kerap menggunakan produk yang berpotensi merosakkan kulit seperti eksfoliator, stripping cleanser dan produk wewangian.

Bagaimanapun, setiap daripada kita mempunyai cara masing-masing.

Mungkin sebahagiannya tidak mengalami sebarang masalah jika terus memakai pakaian yang baru dibeli.

Namun, harus diingat bahawa mencegah lebih baik daripada merawat!

Iklan

Tidak salah jika basuh sahaja terlebih dahulu sebelum sedia dipakai.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI