AKIBAT gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan enggan memberikan kerjasama kepada pihak polis, sembilan wanita dikenakan kompaun RM1,000 selepas didakwa menganjur dan menyertai kelas yoga di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Memetik laporan akhbar tempatan, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai penganjuran kelas yoga di rumah berkenaan jam 8.50 pagi.

“Semakan di dalam rumah mendapati terdapat lapan wanita tempatan termasuk penganjur, serta seorang wanita warga United Kingdom yang juga peserta kelas yoga berkenaan. Mereka berusia antara 37 hingga 60 tahun.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pihak penganjur tidak memberikan kerjasama dan mempertikaikan tindakan polis membuat pemeriksaan serta pemantauan prosedur operasi standard (SOP) PKPB di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, hasil semakan mendapati rumah itu adalah milik persendirian dan telah dijadikan sebagai pusat latihan yoga tanpa sebarang kelulusan pihak berwajib.

Pertikaikan tindakan polis dan tak patuh SOP, 9 peserta kelas yoga dikompaun RM1,000

Akhirnya kesembilan wanita berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Sri Hartamas untuk tindakan kompaun RM1,000 setiap seorang.

Sementara penjaga premis yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun turut disiasat dan bakal didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Iklan

Zarulnizam juga menegaskan kepada semua pemilik premis di daerah itu supaya mengikuti SOP PKPB ditetapkan pihak berkuasa.

Iklan

Jadi awas ye penggemar aktiviti riadah dan sukan! Ramai mata-mata yang memerhati. Bukan tak boleh bersukan, cuma korang perlu patuh dengan garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan oleh kementerian sepanjang tempoh PKPB dilaksanakan.

Perlu diingat, tindakan kompaun juga boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar SOP PKPB dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak polis Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut. Kerjasama daripada orang ramai penting bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.