DAH macam mini kasino! Itulah dakwaan dan tanggapan orang ramai apabila melihat tindakan segelintir pesakit Covid-19 dipercayai berjudi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) baru-baru ini.

Kejadian itu kini semakin tular terutama di aplikasi TikTok apabila ada pengguna memuat naik video rakaman tersebut dengan caption “ini pusat kuarantin ke mini Genting?”

Video itu pastinya mengundang kecaman segelintir netizen yang mendakwa PKRC ibarat mini kasino selepas beberapa rakaman video berkaitan insiden itu tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman video itu terdapat beberapa lelaki dilihat berkumpul sambil bermain terup, namun tiada wang diletakkan sebaliknya paket makanan seperti biskut dan mi segera dijadikan sebagai barang pertaruhan.

Jika sebelum ini tular sekumpulan pesakit Covid-19 di PKRC Sabah mengambil minuman keras secara terbuka sehingga mengundang kemarahan orang ramai, kini di MAEPS kes berjudi pula. Macam-macam hal!

Pihak berkuasa Polis juga kini sedia maklum dan telah menerima satu laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan juga akan dibuat.

Memetik laporan akhbar tempatan, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada petugas polis di PKRC MAEPS Serdang di balai Dato Abu Bakar Baginda.

Iklan

Katanya, setakat ini polis masih belum membuat sebarang tindakan dan menunggu laporan dari balai berkenaan.

“Polis telah menerima video tular berkenaan kegiatan judi yang didakwa berlaku di PKRC Maeps, Serdang.

Iklan

“Berdasaran rakaman video itu tedapat beberapa lelaki dilihat berkumpul sambil bermain daun terup, namun tiada wang diletakkan selain paket makanan seperti biskut dan mi segera dijadikan sebagai barang pertaruhan,” katanya.