ZAMAN sekarang, jangan percaya orang lain seratus peratus sebab penipu macam-macam taktik. Jika tidak berhati-hati mungkin kita sendiri yang akan terkena. Jadi adalah lebih baik ambil langkah berjaga-jaga sebelum perkara buruk berlaku.

Namun ada juga yang betul. Cuma kita sendiri yang harus bijak membuat penilaian.

Seperti contoh, tular di media sosial kelihatan van Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sebuah kawasan perumahan di Bukit Subang, Shah Alam. Mungkin ada yang risau jika itu adalah penyamar yang mengambil kesempatan melakukan ujian Covid-19 di kawasan tersebut.

Pun begitu, KKM dalam satu kenyataan melalui Facebook telah menjelaskan bahawa van dan staff tersebut disahkan adalah milik kementerian itu.

KKM juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya van dan kakitangan kementerian itu terbabit aktiviti jenayah.

Kenyataan KKM rata-rata melegakan keresahan orang ramai yang kini telah membuat pelbagai andaian berhubung kes tersebut.

Namun, jika situasi terbabit benar-benar terjadi dan memang ada penjenayah yang merancang untuk melakukan jenayah bermodus operandi seperti demikian, apa yang korang perlu lakukan?

SinarPlus kongsikan langkah terbaik dan perkara berkenaan kakitangan KKM yang datang membuat pemeriksaan Covid-19 yang perlu korang tahu:

  1. Sekiranya berlaku, korang boleh menghubungi terus Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau polis sekiranya berasa sangsi terhadap kehadiran pegawai kesihatan di kawasan perumahan.
  2. Perlu buat pengesahan pada pihak berwajib bagi mendapatkan kepastian sama ada pasukan petugas KKM dihantar ke rumah-rumah tertentu.
  3. Penghuni perlu berhati-hati dan berwaspada kalau mereka syak ataupun tidak pasti ada pegawai (KKM) yang datang ke rumah.
  4. Tetapi, untuk warga kerja KKM, mereka juga perlu memakai pakaian yang telah ditentukan dan juga membawa kad kuasa dan ini yang kami galakkan untuk mereka mengikut peraturan-peraturan di Kementerian Kesihatan.
  5. Petugas kesihatan KKM mungkin perlu menghubungi penghuni rumah terdahulu sebelum mereka hadir bagi urusan kesihatan.

Merujuk kepada gambar-gambar yang tular di media sosial berhubung kehadiran warga KKM di sebuah kawasan perumahan adalah merupakan satu saringan yang dilaksanakan KKM untuk kes-kes pesakit dalam siasatan (PUI) yang dikuarantin di rumah masing-masing.

KKM juga sebenarnya memberi perkhidmatan di rumah dan contohnya kalau jururawat-jururawat mereka ke rumah untuk merawat ibu dan bayi.

Jadi, korang perlu lebih berhati-hati. Tak salah syak wasangka terhadap situasi yang dilihat mencurigakan. Cuma jangan sebarkan berita palsu. Tak pasti jangan kongsi tau…