DENGAN penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), orang ramai kini sudah boleh membuat perjalanan rentas negeri bermula hari ini.

Ramai yang merancang untuk pulang untuk berjumpa dengan ibu dan ayah di kampung dan tidak kurang juga ada yang merancang untuk bercuti bersama keluarga.

Antara destinasi yang bakal menjadi tumpuan keluarga adalah Zoo Melaka. Namun, menurut satu laporan yang diterbitkan oleh portal akhbar tempatan, seramai 500 orang pengunjung sahaja akan dibenarkan mengunjungi Zoo Melaka pada setiap sesi sepanjang tempoh PKPP.

Pengarah Zoo Melaka dan Taman Burung Zanariah Khamis berkata, pengunjung perlu mematuhi dan mengikut SOP yang ditetapkan seperti berikut :

  1. Pengunjung boleh membuat pilihan sama ada untuk memasuki sesi pertama dari 8.30 pagi hingga 12 tengah hari atau sesi kedua dari 2 petang hingga 5 petang.
  2. Sesi terhad kepada hanya 500 orang sahaja dan akan berehat selama dua jam setiap hari bagi melakukan proses nyahkuman, pembersihan atau sanitasi bermula 12 tengah hari hingga 2 petang.
  3. Bagi pembelian tiket, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan beratur.
  4. Kesemua maklumat nama dan nombor telefon ahli keluarga perlu dimasukkan ke dalam rekod pengesanan pelanggan yang diletakkan di kaunter.
  5. Sepanjang tempoh PKPP, Zoo Melaka menawarkan harga ‘durian runtuh’ kepada orang ramai iaitu RM10 untuk dewasa, manakala RM5 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Zanariah berkata, pelbagai usaha dilakukan pihak pentadbiran bagi mengembalikan zaman kegemilangan Zoo Melaka termasuk menaik taraf, dan menambah baik infrastruktur bagi menarik lebih ramai pengunjung ke zoo kedua terbesar di Malaysia itu.

Iklan

“Macam-macam yang kita rancangkan termasuk mewujudkan ‘petting zone’, sesi bergambar dengan haiwan, pemberian makanan secara percuma kepada haiwan, bertemu maskot pada hujung minggu dan banyak lagi,” katanya.

Iklan

Zoo Melaka ditubuhkan pada 1963 menempatkan kira-kira 650 haiwan daripada 150 spesies yang berlainan dari seluruh dunia selain berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.