SEDAR tak sedar, hari ini adalah genap hari ke-90 rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac dan kini, kita telah berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu.

Oleh itu, rakyat Malaysia sangat digalakkan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk membolehkan mereka melakukan penilaian kesihatan kendiri.

Penggunaan aplikasi MySejahtera dilihat menjadi normal baharu buat masyarakat di negara ini sebagai antara kaedah bagi membantu kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM), dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 di Malaysia sejak 28 April lepas.

Ada ke yang masih kurang maklum apa itu MySejahtera?

Okey, untuk makluman, MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Pada masa yang sama, ia membantu KKM mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan segera dan berkesan.

Applikasi MySejahtera, satu instrumen penting bagi memperkasa orang ramai menerusi maklumat terkini Covid-19 dan nasihat kesihatan, akan membolehkan KKM mengambil tindakan yang cepat dan tepat untuk mengenal pasti serta memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.

Antara komponen aplikasi ini ialah data harian dan maklumat mengenai kawasan-kawasan yang mempunyai jangkitan Covid-19 selain membolehkan pengguna mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk membuat pemeriksaan dan rawatan.

Selain itu, aplikasi ini boleh digunakan untuk mengimbas kod QR dan mendaftar masuk di lokasi yang berkenaan sebagai alternatif kepada mengisi maklumat kontak rapat secara manual, selain merekodkan suhu sebagai syarat untuk memasuki sesebuah premis, sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

MySejahtera turut digunakan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memantau individu yang menjalani kuarantin di rumah termasuk mereka yang kembali dari luar negara.

Sehingga 12 Jun, kira-kira 2.5 juta orang yang menetap di negara ini memuat turun aplikasi MySejahtera seperti yang telah dilaporkan.

Iklan

Menyedari betapa pentingnya aplikasi MySejahtera dalam mengekang wabak Covid-19, kerajaan melakukan pelbagai usaha bagi menggalakkan masyarakat memuat turun aplikasi itu.

Kena bayar ke nak download? Tak perlu gais. Semuanya percuma! Hanya download sahaja di google playstore atau pun apple playstore menggunakan telefon pintar masing-masing.

Berita baik, kerajaan akan kreditkan RM50 ke dalam e-dompet pengguna setelah mereka memuat turun aplikasi itu yang merupakan satu inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kepada golongan M40 dan B40 berumur 18 tahun ke atas seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun.

Iklan

Oleh itu, jadikan kemudahan aplikasi MySejahtera sebagai “teman sejati” anda walau di mana jua anda berada, selain membantu mendapatkan maklumat mengenai rawatan kesihatan sekiranya mempunyai gejala atau tanda-tanda jangkitan Covid-19.

Selain mematuhi SOP PKPP, usaha rakyat Malaysia menggunakan aplikasi MySejahtera berpotensi membantu kerajaan memerangi dan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.