PERINTAH Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memasuki hari kesembilan menyaksikan lebih banyak ‘kebebasan’ diberikan kepada orang ramai.

Namun alangkah malang sekiranya orang ramai terus menyalahgunakan ‘kebebasan’ yang diberikan dengan melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Garis panduan yang telah ditetapkan bukan saja-saja. Semuanya bersebab.

Antara kebebasan `baharu’ yang dibenarkan ialah orang ramai boleh bergerak bebas merentas sempadan negeri sejak PKPP dikuat kuasa 10 Jun lepas dan hari ini juga kedai makan tidak perlu lagi menghadkan jumlah pelanggan di setiap meja makan di dalam premis mereka.

Memetik laporan yang diterbitkan oleh portal akhbar tempatan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam turut memberikan lampu hijau kepada ibu bapa membawa anak masing-masing ke pusat membeli-belah dan kedai makan, namun perlu mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Antara perlaksanaan lain yang telah dibuat oleh beberapa buah negeri adalah seperti berikut :

  • Sabah

Panggung wayang serta perkhidmatan kecantikan dan kesihatan telah mula dibenarkan untuk beroperasi bermula semalam.

  • Melaka

Kerajaan negeri bersetuju meluluskan 100 lokasi tapak baharu bagi pembukaan pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam, dan bazaria dalam tempoh PKPP dilaksanakan bagi membolehkan peniaga kecil kembali memperoleh pendapatan selain menjana semula ekonomi negeri.

Iklan
  • Kedah

Di Kedah pula, hampir 90 peratus sektor pelancongan negeri berkenaan termasuk di Langkawi, telah dibenarkan beroperasi semula.

Namun, segala kebebasan ini tidak bermaksud negara bebas daripada penularan Covid-19, malah di saat kita merasa ‘lega’ kini, angka penularan virus pula di kalangan warganegara menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit walaupun masih angka satu digit.

Iklan

Walaupun banyak ‘kebebasan’ diumumkan, kita perlu `hidup’ dengan amalan norma baharu dan kawalan kendiri dan setiap warganegara tidaklah bebas daripada SOP dan undang-undang.