PLUS tawar peluang sama rata kepada wanita ceburi industri lebuh raya

PLUS tawar peluang sama rata kepada wanita ceburi industri lebuh raya
March 11, 2021
Oleh Meen

PERANAN dan pengorbanan kaum wanita sama ada sebagai seorang anak, ibu, isteri serta pekerja amat kritikal ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Wanita dilihat sama-sama menyumbang tenaga dan memainkan peranan penting sama ada ke arah pembangunan masyarakat, syarikat malah pengukuhan institusi keluarga.

Lebih-lebih lagi apabila satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh dalam negara adalah terdiri daripada kaum wanita.

Sumbangan wanita dari pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi dan sosial di kebanyakan negara di dunia dilihat begitu dominan sekali.

Perumpamaan “tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia” melambangkan betapa hebatnya peranan kaum wanita dalam agenda pembangunan negara.

Hari wanita sedunia

Bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebagai sebuah organisasi berasa bangga kerana 48 peratus daripada keseluruhan 3,700 warga PLUS dibarisi oleh kakitangan wanita.

Daripada jumlah tersebut, seramai 350 orang terlibat dalam bidang pengurusan, manakala 1,400 lagi dalam bidang operasi lebuh raya dan barisan hadapan termasuklah pembantu khidmat pelanggan, penyelia serta petugas pusat kawalan trafik.

Di PLUS, kakitangan wanita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam memastikan pelanggan menikmati perjalanan lebuhraya yang terbaik pada setiap masa.

Di lebuhraya PLUS, 48 peratus daripada keseluruhan jumlah peniaga di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) adalah terdiri daripada wanita. Kerja-kerja penyelenggaraan lebuhraya juga turut diperkuatkan oleh kira-kira 16 peratus tenaga kerja wanita.

Di PLUS, golongan wanita diberi peluang yang sama rata untuk terus maju di dalam pelbagai bidang meliputi pasukan pengurusan tertinggi, jurutera, pembantu pengurusan, eksekutif sehinggalah kepada kakitangan barisan hadapan.

Setiap daripada mereka memainkan peranan utama bagi memastikan PLUS sebagai syarikat pengendali lebuh raya dapat menyediakan perkhidmatan lebuh raya bertahap dunia dan terbaik selari dengan matlamat syarikat “menjaga pelanggan dengan baik sepanjang perjalanan mereka”.

Wanita hari ini mempunyai imej dan tanggungjawab sosial yang berbeza sesuai dengan kehendak dan perubahan zaman.

Ia membawa kepada perubahan yang mana peranan kaum wanita ini dilihat amat besar dalam terus memberi sumbangan sama ada dalam pembangunan syarikat, keluarga malahan kepada masyarakat.

Iklan

Dengan tema sambutan Hari Wanita di Malaysia, “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”, ia mengangkat semangat juang wanita yang tidak pernah mengenal penat lelah dalam mengharungi cabaran kehidupan.

Kakitangan PLUS kongsi pengalaman

Berkongsi pendapat tentang Hari Wanita, Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew berkata, beliau berasa amat bertuah kerana sama ada di tempat kerja, di rumah atau bersama individu yang biasanya berinteraksi atau bersosial, mereka menempatkan wanita di tempat yang setara dengan penuh rasa hormat.

Christine Liew

“Saya amat bangga kerana PLUS mempunyai pasukan yang mengiktiraf dan menghargai pencapaian wanita, di mana setiap individu diberi peluang menjadi tulang belakang syarikat tanpa mengira perbezaan jantina dalam membuat keputusan penting,” katanya.

Sememangnya perbezaan fizikal wanita akan menyebabkan perbezaan tugas dan tanggungjawab daripada pandangan umum, namun sebagai salah satu watak penting di dalam organisasi ini, Christine percaya wanita di PLUS diberi peluang sama rata untuk memimpin dalam usaha menonjolkan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran mereka.

Sementara itu, antara kakitangan barisan hadapan PLUS yang tetap setia bertugas tatkala ramai di antara kita duduk di rumah semasa pandemik Covid-19 ialah Zaihanna Salleh.

Bertugas sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan di Plaza Tol Ayer Keroh, Zaihanna telah mula berkhidmat dengan PLUS sejak 10 tahun yang lalu.

Ketika berdepan dengan cabaran bertugas semasa tempoh tersebut, Zaihana bijak menguruskan masa dengan efisien iaitu menyusun jadual seimbang antara keluarga dan kerjaya, tambahan pula suami beliau juga bertugas dengan pasukan keselamatan negara iaitu tentera.

Iklan
Zaihanna

“Dengan semangat #KitaJagaKita”, saya memohon pelanggan supaya sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal ketika berurusan dengan petugas barisan hadapan di plaza tol.

“Kita semua mempunyai keluarga yang kita sayangi, oleh itu kerjasama pelanggan amat diperlukan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak,” jelas Zaihanna.

Peluang sama rata

Lain pula ceritanya dengan Eksekutif Pengurusan Kanan PLUS, 32 tahun yang baru dua tahun bertugas di unit Unmanned Aerial Vehicle (UAV) di ibu pejabat.

Nur Azila menerajui pasukan penganalisa data bagi imej UAV. Analisis data geospatial yang dijalankan unit tersebut membantu melakukan proses mitigasi penyelenggaraan melalui penggunaan kapal terbang kawalan jauh tanpa pemandu (dron) dalam memantau dan memeriksa aset lebuh raya seperti cerun dan sebagainya.

Nur Azila Rahmat,

“Diberi peluang sama rata untuk menguji keupayaan dan kepakaran diri di kalangan kaum lelaki menjadikan saya berani dan bersemangat untuk berdepan dengan apa jua cabaran.

“Saya mempunyai pasukan yang sangat berdedikasi dan positif dalam usaha memberikan gambaran penting kepada syarikat.

“Selain itu, unit UAV juga membantu pasukan penyelenggaraan dengan menyediakan laporan dan analisa dalam bentuk visual dan model 3D mengenai keadaan aset lebuh raya untuk membantu pasukan menghasilkan pelan mitigasi,” katanya penuh optimis.

Persekitaran kerja norma baharu

Sementara itu, Pembantu Operasi Pusat Kawalan Trafik (TMC) PLUS, Noraihan Romli pula berkongsi, pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah mencetus perubahan persekitaran pekerjaan yang mana norma baharu diwujudkan.

Noraihan Romli

“Bekerja di TMC merupakan satu platfom yang baik kepada saya untuk memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan sosial memandangkan pekerjaan ini lebih kepada kerja berpasukan dan mengendalikan panggilan pelanggan.

“Selain dapat melatih untuk menjadi seorang yang 'multitask' dalam melakukan tugasan, pekerjaan ini juga mengajar kita untuk lebih peka terhadap isu-isu keselamatan dalam usaha menyalurkan maklumat dan koordinasi bantuan segera kepada pelanggan lebuh raya yang menghadapi kecemasan,” katanya.

Enggan dibayangi profesion yang rata-rata didominasi oleh lelaki, Ketua Jurutera Keselamatan Trafik, Ir. Wan Noor Zuraini Wan Ismail tidak kurang hebatnya.

Ir. Wan Noor Zuraini sama-sama bertanggungjawab menyumbang kepakaran dan tenaga bagi memastikan aspek kejuruteraan keselamatan jalan raya diberi perhatian dan keutamaan demi keselamatan pelanggan lebuh raya.

Selain berdepan dengan ruang kerja yang mencabar, ia menuntut daya tahan yang lebih tinggi ketika bertugas di lapangan. Dengan norma baharu bekerja dari rumah, Ir. Wan Noor Zuraini cuba menjadikan kehidupan kerjaya dan keluarganya seimbang.

Beliau meluangkan masa menjalani aktiviti beriadah bersama keluarga selepas waktu bekerja untuk mengurangkan tekanan di samping memastikan kesihatan mental dan fizikal.

Sentiasa utamakan keselamatan

Sementara itu, menurut Eksekutif Pengurusan Keselamatan, Kesihatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE), Iffah Ilhami Ismail, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan di PLUS.

Noraihan Romli

“Saya bersama pasukan HSSE terlibat dalam membantu warga kerja PLUS meningkatkan kesedaran membudayakan keselamatan terutama ketika pergi, pulang dan berada di tempat kerja.

“Dengan matlamat “setiap orang pulang ke rumah dengan selamat”, kami aktif berkomunikasi dengan semua warga PLUS dan menjalankan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan keselamatan dan kesihatan serta membantu mengurangkan kadar insiden melibatkan kakitangan.

“Saya bersyukur diberi peluang untuk membuktikan kemahiran dan keupayaan saya demi mencapai matlamat kerana pihak Pengurusan sangat mengambil berat dan cakna terhadap keselamatan dan kesihatan warga kerjanya,” ujarnya.

PLUS sentiasa memberi dorongan kepada semua kakitangan wanitanya untuk menceburi bidang kerja yang pelbagai, membangunkan pengetahuan dan kemahiran bekerja, memberi peluang sama rata untuk mengembangkan kerjaya agar mereka sama-sama dapat menyumbang dan bekerjasama dengan seluruh tenaga kerja demi kemajuan syarikat pada masa akan datang.

Semoga wanita di luar sana mampu mencapai kejayaan seperti yang diimpikan.

About Meen

Biodata Penulis