SATU demi satu kes dan dilihat tak sudah-sudah, degil! Begitulah gambaran situasi kes nahas jalan raya hari ini yang kerap dilaporkan membabitkan sikap sambil lewa individu tidak bertanggungjawab yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Hanya dek kerana sikap pentingkan diri sendiri dan hilangnya kewarasan seorang pemabuk, nyawa orang lain pula bakal terkorban begitu sahaja jika berlakunya sesuatu kemalangan.

Tiada siapa pun bakal terlepas dengan tindakan dan hukuman jika disabitkan kesalahan termasuk seorang anggota polis trafik yang ditahan jam 12.30 pagi tadi kerana memandu secara melawan arus selain disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

Kejadian itu berjaya dirakam orang awam dan video tersebut kini tular di media sosial yang memperlihatkan sebuah kereta Perodua Axia dipandu secara merbahaya dan melawan arus di Jalan Lingkaran Dalam Johor Baharu, Johor.

Memetik laporan akhbar tempatan, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor Bahru Selatan (JBS) kemudiannya mengesan dan menahan suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 25 tahun itu.

Lelaki itu yang juga anggota trafik JBS berjaya ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam.

Siasatan mendapati, ketika kejadian, anggota terbabit tidak bertugas dan dia memandu kenderaan persendirian.

Pihak polis juga dikatakan tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak termasuk anggota serta pegawai yang melanggar undang-undang.

Iklan

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula, denda tidak lebih RM30,000 dan penjara dua tahun serta hilang kelayakan memandu tidak kurang dua tahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan

Dalam pada itu ketika memandu kita pastinya memerlukan fokus yang tinggi kerana perlu peka dengan keadaan persekitaran.

Iklan

Sebab itulah seorang pemandu tidak dinasihatkan untuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu kerana ia boleh mengalih tumpuan individu terhadap persekitaran jalan raya dan kesannya sama umpama korang memandu dalam keadaan mabuk.

Individu yang tidak mabuk juga kadang-kala boleh hilang konsentrasinya apatah lagi jika korang berada di bawah pengaruh alkohol. AWAS!