PUAS mencari posisi, berguling-guling, bergolek kiri dan kanan namun masih tidak dapat melelapkan mata. Pasti ramai yang mengalaminya.

Mendapat tidur yang lena dan berkualiti akan mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal.

Masalah kekurangan tidur boleh mengakibatkan penurunan tenaga dan produktiviti, keseimbangan emosi serta menjejaskan berat badan.

Tidur yang mencukupi itu amat penting untuk kesihatan, namun masih ramai di antara kita yang berdepan isu kesukaran mendapatkan tidur lena setiap malam.

Hakikatnya, petua atau cara mengatasi masalah sukar tidur itu adalah melibatkan rutin harian kita sahaja.

Ya, pilihan tabiat dan gaya hidup di siang hari yang tidak sihat boleh membuatkan anda sukar tidur lena pada waktu malam.

Baca juga Anak geser gigi semasa tidur bukan petanda tidak baik, rupanya disebabkan tiga faktor ini

Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, anda boleh amalkan 10 perkara berikut untuk senang tidur, letak sahaja kepala atas bantal, terus lena.

1. Bila bangun tidur, jangan lengah-lengah dan bermalas-malasan di atas katil terlalu lama. Regang badan sikit, dan terus bangkit dari katil.

2. Bekerja dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Tak usah curi tulang, tak usah mengular. Tidur sejenak selepas Zohor.

3. Minum air kosong secukupnya. Makan hanya pada kuantiti diperlukan, sepadan dengan tenaga yang diperlukan untuk bekerja sahaja.

4. Setelah pulang dari kerja, jika berkesempatan, lakukan senaman atau kerja rumah untuk menghabiskan sisa tenaga yang masih ada.

5. Makan malam sekadar untuk alas perut. Tidak terlalu banyak atau terlalu sikit. Agar perut selesa sepanjang malam.

6. Gosok gigi serta lidah, dan cuci muka. Kosongkan pundi kencing serta usus jika perlu, agar tidur tak terganggu nanti.

Baca juga Aplikasi paling dipercayai ramai, BetterSleep bantu tambah baik tabiat tidur lebih berkualiti

Iklan

7. Pakai pakaian selesa, hidupkan kipas atau pendingin hawa, tutup semua lampu di dalam bilik, dan baring mengiring ke sisi.

8. Pejamkan mata, kosongkan minda dan relakskan otot. Dengarkan nafas anda turun dan naik. Bayangkan diri anda mengecil.

9. Maafkan semua orang, doakan kebaikan untuk semua umat manusia. Paling penting, maafkan diri sendiri dan doa kebaikan kepada diri.

10. Anggaplah sudah lakukan terbaik hari ini, dan sudah boleh tinggalkan segala urusan dunia. Jika umur panjang, esok buatlah lebih baik.

Setiap orang memerlukan jumlah tidur yang berbeza. Secara puratanya, ini berapa jumlah tidur yang diperlukan;

Iklan
  • Dewasa: 7 hingga 9 jam
  • Kanak-kanak: 9 hingga 13 jam
  • Kanak-kanak kecil dan bayi: 12 hingga 17 jam

Pun begitu, sekiranya keadaan susah tidur mengganggu kehidupan harian anda pada waktu siang, sila berjumpa dengan doktor untuk mengenal pasti punca masalah dan cara mengatasinya.

Jika mengalami susah tidur dan badan asyik berasa lesu, hingga kesihatan diri merudum. Jangan diabaikan sebarang simptom, kemungkinan anda mengalami masalah susah tidur atau insomnia.

Cubalah! Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.