GAYA hidup mewah luar biasa mana-mana individu selalunya akan mengundang rasa syak wasangka sesiapa sahaja.

Tambahan pula jika individu tersebut hanya sekadar ‘makan gaji’.

Sebagai contoh, gaji minimum seorang kakitangan kerajaan Gred KP19 ialah sebanyak RM1,360 manakala pendapatan maksimum sehingga RM4,052 tidak termasuk bayaran elaun tidak memungkinkan seseorang itu mengamalkan gaya hidup mewah.

Apatah lagi memiliki kereta berjenama seperti Roll Royce Phantom, Mustang dan Range Rover serta Audi.

Bertitik tolak pada keraguan itu, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati, pemilikan kenderaan-kenderaan tersebut oleh seorang kakitangan Jabatan Imigresen membawa kepada tumpasan sindiket pemalsuan cap sempadan.

Benar kata pepatah, “sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga”!

Anggota berkenaan kini ditahan oleh SPRM bagi membantu kes yang kini sedang disiasat.

Menurut sumber portal media tempatan, siasatan SPRM dalam OP SELAT mendapati sindiket membelanjakan jutaan ringgit bagi menyogok pegawai dan anggota Jabatan Imigresen sejak beberapa tahun.

“Apa yang mengejutkan ialah bagaimana seorang anggota imigresen Gred KP 19 mampu memiliki empat buah kereta mewah iaitu Roll Royce Phantom, Mustang, Range Rover dan Audi.

“Kereta-kereta ini didaftarkan atas nama dua warga China yang dipercayai ejen pekerja asing China yang beroperasi di Malaysia dan dua ejen lelaki tempatan,” kata sumber itu.

SPRM telah mengenal pasti identiti keempat-empat warga China itu dan rakyat tempatan yang terbabit serta sedang mengesan kesemua mereka.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap dan siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Iklan

Setakat ini, seramai 50 orang telah ditahan dalam OP SELAT dan 28 daripada mereka merupakan pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam.

SPRM turut merampas wang tunai berjumlah lebih RM800,000, 26 buah kereta mewah dan empat buah motosikal berkuasa tinggi.

Rahsia terbongkar! Penjawat awam Gred KP19 miliki 4 buah kereta mewah termasuk Roll Royce Phantom
Gambar hiasan. Sumber-Internet

Rampasan juga tidak termasuk nilai rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya.

Iklan

Oleh itu, adalah baiknya sekiranya jika kita merasakan syak wasangka dan perasaan curiga terhadap mana-mana individu, laporkan sahaja kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti pihak PDRM ataupun SPRM untuk siasatan lanjut dilakukan dengan lebih teratur dan teliti mengikut peruntukkan undang-undang sedia ada dalam negara kita.

Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang disyaki di dalam mahkamah.

Awas! Rasuah itu adalah jenayah yang mampu merosakkan bangsa dan negara. Jika perlu, segera bertindak!