LAZIMNYA, kita akan melihat sesetengah menu yang menggunakan sotong sebagai bahannya dimasak bersama dakwatnya berwarna hitam.

Namun demikian, ada sesetengah daripada kita yang masih meragui dengan tindakan itu.

Apakah ia boleh dimakan?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim memberi reaksi balasnya.

Katanya, sebenarnya, dakwat sotong bukan dalam kategori darah.

“Ia adalah cecair berwarna gelap yang digunakan oleh sotong sebagai mekanisma mempertahankan diri daripada musuh.

“Apabila ada musuh, sotong akan merembeskan dakwat ini untuk mengaburkan pandangan musuh supaya ia boleh melarikan diri,” beritahunya.

Memperincikan lebih mendalam mengenainya, tulis pakar itu di Facebook beliau, kandungan kimia dakwat sotong adalah melanin (punca warna gelap), enzim, polysaccharides, catecholamines, asid amino (glutamate, taurine, alanine, leucine, aspartic acid) dan logam berat seperti cadmium, kuprum dan plumbum.

Sebenarnya, kehadiran glutamate menyumbang kepada rasa sedap dakwat sotong, sama seperti dalam monosodium glutamate atau lebih terkenal dengan panggilan MSG.

Oleh itu, dalam erti kata lain, usul Dr Fatimah, dakwat sotong itu selamat dimakan.

Iklan

“Ia telah digunakan sejak berzaman dulu sebagai ubat tradisional (merawat penyakit berkenaan darah), dakwat untuk menulis dan melukis, dijadikan bahan tambahan dalam kosmetik dan penambah perasa dalam makanan.

“Sehingga kini dakwat ini masih lagi digunakan dalam masakan seperti pembuatan pasta, nasi dan sos terutamanya di Jepun dan di negara-negara Mediterranean dan di Malaysia menu yang paling terkenal ialah sotong masak hitam,” jelasnya.

Sementara itu, meskipun ada mufti yang memfatwakan dakwat sotong haram, namun ujar Dr Fatimah yang mengaitkannya dengan ilmu sains yang difahami dan lebih cenderung kepada artikel yang dikongsikan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang menyimpulkannya TIDAK HARAM.

Iklan

Dengan ulasan yang teliti dan terperinci oleh fatwa di atas, maka dapat disimpulkan bahawa orang ramai boleh sahaja memakan dakwat sotong dan ia selamat.

“Selebihnya adalah lebih kepada cara memasak (elakkan yang sudah busuk), kesukaan dan kebiasaan mengikut cita rasa masing-masing.

“Namun, usahlah berlebihan. Ingat apa-apa yang berlebihan boleh membawa mudarat,” pesannya.

Foto: Sumber internet