RAMAI yang tidak tahu yang mana kerajaan ada memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau dikenali sebagai PeKa B40!

Skim ini adalah satu inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah (Kumpulan B40), dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ramai tak tahu PeKa B40 adalah Skim Peduli Kesihatan buat golongan sasaran secara percuma, ini manfaat yang anda dapat

Skim PeKa B40 adalah percuma dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Syarat Kelayakan PeKa B40

Skim ini dikhaskan untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka yang berdaftar, yang berumur 50 40 tahun dan ke atas.

Penerima BSH yang berumur bawah 40 tahun tidak layak untuk skim Peka B40. Namun, mereka yang berumur 18 hingga 55 tahun layak untuk skim perlindungan mySalam.

Cara mohon dan mendaftar PeKa B40

Caranya mudah! Tiada permohonan atau pendaftaran diperlukan untuk menyertai PeKa B40. Penyertaan adalah secara automatik bagi mereka yang layak dan ia tidak dikenakan sebarang bayaran.

Penerima BSH dan pasangannya yang berumur 40 tahun dan ke atas boleh menyemak kelayakan di pautan berikut:

https://kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan

Masukkan nombor MyKad dan kombinasi maklumat lain untuk membuat semakan.

Manfaat PeKa B40

Berikut adalah empat manfaat yang ditawarkan oleh Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40):

Manfaat 1: Saringan Kesihatan

Saringan kesihatan boleh dibuat di kebanyakan klinik kesihatan Kerajaan yang ada doktor bertugas dan di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan PeKa B40 dan mempunyai pelekat PeKa B40 di pintu klinik.

Senarai klinik PeKa B40 boleh dirujuk di pautan ini:

https://bms.pekab40.com.my/provider

Berikut adalah senarai saringan kesihatan yang akan dilakukan:

Pemeriksaan kesihatan:

  • Pengambilan sejarah kesihatan dan penyakit individu dan keluarga termasuk faktor risiko kesihatan
  • Saringan kesihatan mental
  • Pemeriksaan fizikal
  • Pemeriksaan klinikal payudara untuk penerima wanita, dan pemeriksaan klinikal prostat untuk penerima lelaki yang berisiko

Pemeriksaan makmal:

  • Ujian sel darah
  • Ujian kawalan gula dalam darah
  • Ujian paras kolesterol
  • Ujian air kencing
  • Ujian fungsi buah pinggang

Manfaat 2: Bantuan Alat Perubatan

Permohonan Bantuan Alat Perubatan adalah melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital Kementerian Kesihatan sahaja.

Pegawai Perubatan atau pakar yang merawat penerima PeKa B40 akan membuat rujukan kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan untuk proses permohonan.

Terdapat 10 jenis kategori Bantuan Alat Perubatan yang ditawarkan berdasarkan pengesahan oleh pakar di Hospital KKM:

  • Stent untuk jantung
  • Alat sendi tiruan
  • Alat bantuan pendengaran
  • Perentak jantung
  • Prostesis & implan untuk tulang belakang
  • Prostesis dan ortosis tulang anggota
  • Kanta mata intraokular
  • Alat terapi pernafasan dan oxygen concentrator
  • Bantuan sokongan nutrisi
  • Kerusi roda

Had maksima Bantuan Alat Perubatan yang dapat dibiayai oleh PeKa B40 adalah RM20,000 (seumur hidup) untuk setiap penerima. Ianya juga tertakluk kepada julat harga dalam setiap kategori peralatan.

Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser

Iklan

Insentif sebanyak RM1,000 akan dibayar kepada pesakit yang melengkapkan rawatan kuratif di Hospital KKM seperti mana saranan doktor yang merawat.

Permohonan insentif ini akan dibuat oleh doktor atau pakar perubatan yang merawat bagi pihak penerima.

Insentif ini akan diberikan dalam dua peringkat:

Peringkat pertama – RM300, apabila permohonan diterima daripada Hospital KKM mengikut proses yang ditetapkan dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun penerima seperti mana proses Bantuan Sara Hidup (BSH).

Peringkat kedua – RM700, setelah penerima manfaat tamat pelan rawatan kanser seperti yang disahkan oleh doktor yang merawat juga akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun.

Insentif ini juga hanya diberikan kepada penerima yang masih hidup sahaja dan tidak boleh dituntut oleh waris.

Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan

Insentif tambang pengangkutan akan diberikan bagi perjalanan pergi dan balik untuk rawatan kanser (Manfaat 3) dan rawatan untuk menggunakan/ memasukkan alat perubatan (Manfaat 2) di Hospital KKM mengikut tarikh temujanji yang ditetapkan.

Iklan

Nilai insentif adalah bergantung kepada jarak rumah pesakit dengan hospital. Had maksimum adalah sebanyak RM500 (Semenanjung Malaysia) atau RM1000 (Sabah/ Sarawak/ Labuan) bagi setiap penyakit.

Pembayaran akan dibuat untuk setiap kali perjalanan pergi dan balik hospital / rumah. Bayaran akan dibuat terus kepada akaun bank pesakit sebelum rawatan susulan akan datang.

Permohonan Insentif Tambang Pengangkutan

Bagi penerima Manfaat 2 iaitu Bantuan Alat Perubatan, permohonan boleh dibuat melalui Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

Bagi penerima Manfaat 3 iaitu Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser, permohonan boleh dibuat melalui doktor yang merawat penyakit kanser tersebut di Hospital KKM.

Semoga maklumat mengenai Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia ini bermanfaat buat para pembaca khususnya penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berumur 40 tahun atau lebih.

Semoga bermanfaat!

Sumber rujukan: Laman web PeKaB40