Ramai tidak tahu Adibah Noor bekas guru Bahasa Inggeris, kongsi 6 tip cepat mahir

A
A
A

RAMAI agaknya yang tidak mengetahui Adibah Noor adalah bekas guru Bahasa Inggeris. Baru-baru ini dia sempat berkongsi tip cepat mahir bahasa itu.

Pemergian penyanyi, pelakon, pengacara, pengisi suara dan bakat iklan, Allahyarham Adibah Noor, 52, akibat kanser ovari di luar jangkaan.

Bagaimanapun, tahukah anda wanita bersuara lunak itu rupa-rupanya pernah bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris?

Baca juga: #SiBibirMerah: Kebaikan tidak diceritakan, Adibah membantu ketika PKP, pernah jual rumah, pajak barang kemas

 

Adibah yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) pernah mencurahkan bakti di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor sebelum menceburkan diri dalam bidang korporat, pengiklanan dan nyanyian.

Jelas penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu, bukan dia seorang yang pernah bertugas sebagai pendidik, ibunya juga seorang bekas guru manakala kakak pula pensyarah Bahasa Inggeris. Bagaimanapun mereka tidak bertutur dalam Bahasa Inggeris di rumah.

“Keluarga tidak berbahasa Inggeris di rumah. Ibu bapa saya adalah penjawat awam. Adik beradik saya juga jarang bercakap (komunikasi) dalam bahasa Inggeris.

“Tetapi ibu bapa saya mengambil inisiatif untuk menghantar anak-anak ke tadika yang menggunakan Bahasa Ingeris sebagai bahasa pengantaraan. Walaupun tidak faham, tetapi wujud penyerapan yang mudah (bagi kanak-kanak),” katanya.

Adibah memegang watak Puan Hajar iaitu pengetua sekolah dalam rancangan Astro 'Oh My English'

Tambah Adibah, sekolah rendah dan menengah juga membuka ruang untuknya menguasai bahasa tersebut.

“Kemudian saya bersekolah di Sekolah Convent Bukit Nanas daripada Darjah 1 hingga Tingkatan 5. Mereka menekankan kepentingan kebolehan berbahasa Inggeris.

“Jadi mungkin daripada situ saya terlatih. Apabila balik ke rumah (walaupun di rumah kami tidak berbahasa Inggeris), saya sendiri minat dengan bahasa itu.

“Saya akan dapatkan bahan bacaan Bahasa Inggeris, suka tonton program televisyen dan baca sari katanya, tengok bagaimana mereka bercakap.

“Bila ada bahan bacaan saya akan baca kuat-kuat seperti saya bercerita. Jadi di situ, saya tidak pasti ia betul atau tidak. Tapi ia menjadi kepada saya,” terang Adibah.

Baca juga #SiBibirMerah: Sayunya... luahan akhir rakan artis buat Adibah Noor

Dalam satu temu ramah oleh Sinar Bestari, Adibah tidak lokek berkongsi beberapa tip  untuk mahir Bahasa Inggeris.

1-“Biasa membaca dengan kuat. Bila lidah biasa menyebut, telinga biasa mendengar, mata biasa melihat, deria kita akan biasa dengan bahasa itu. Penyerapan akan menjadi lebih hebat dan ia lama-kelamaan menjadi biasa,” katanya.

2-Bimbang kesilapan dalam tatabahasa atau ‘grammar’ sering menjadi penghalang seseorang cuba berbahasa Inggeris. Adibah mencadangkan ia dihafal. “Grammar seperti sifir. Kita dipaksa hafal sifir. Samalah juga dengan grammar, secara akademiknya ia bagus untuk dipelajari,” katanya.

3-Namun lain pula bagi percakapan harian bagi Adibah. “Tidak perlu risau, cakap sahaja Orang selalu risau kerana bimbang diketawakan,” katanya.

4-Mengenai isu ‘lidah belacan’, Adibah menekankan sebutan asas sesuatu perkataan perlu betul. “Tak mengapa English berbunyi lokal (tanpa slang) asalkan sebutannya betul. Boleh Google dan taip perkataan (yang ingin diketahui) untuk mengetahui sebutan,” katanya.

5-Jika ibu bapa di kawasan bandar yang ingin anak mahir dalam Bahasa Inggeris dan selesa berinteraksi dalam bahasa itu, teruskan bertutur bahasa itu dengan anak-anak. Tetapi kata Adibah, ia perlu diseimbangkan dengan bahasa ibunda.

6-Bagi ibu bapa tidak mahir dalam Bahasa Inggeris bolehlah bersama anak ketika mereka menyiapkan kerja rumah. “Duduk di sebelah dan minta mereka anak ajar semula apa yang dipelajari, ini secara tidak langsung menyebabkan mereka mempraktikkannya,” kata Adibah.

Justeru, bagi yang ingin menggilap penguasaan Bahasa Inggeris bolehlah menggunakan tip yang dikongsikan Allahyarham ini.

#BibirMerah: Sayunya... luahan akhir rakan artis buat Adibah Noor

Adibah atau nama penuhnya Adibah Noor Mohamed Omar meninggal dunia pada jam 7.40 petang, Sabtu di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang selepas mengalami sesak nafas.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu difahamkan sudah lama menghidap kanser ovari tahap empat namun merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum.

Baca juga: “Elak kongsi gambar Adibah Noor yang tidak tutup aurat” - PU Riz

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca