KINI, pemakaian pelitup muka merupakan satu kewajipan terutamanya ketika berada di tempat awam yang sesak angkara penularan wabak Covid-19 yang boleh dijangkiti melalui titisan cecair.

Namun demikian, baru-baru ini, terdapat satu kisah tular yang mengatakan terdapat cacing halus pada pelitup muka sehingga menyebabkan seorang pemilik Facebook itu mengambil tindakan memasaknya sebelum memakainya.

Prihatin dengan keadaan itu, Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman melalui Facebook berkongsi pandangannya.

Dr Arisman.

Kata beliau, jangan sesekali basuh atau masak (rebus) pelitup muka jenis tiga lapisan itu.

“Apabila pelitup muka itu sudah basah, ia akan menganggu penapisan kuman atau zarah di lapisannya sehingga menyebabkan kesukaran bernafas apabila seseorang memakainya.

“Pada masa sama, ada kajian menunjukkan kecekapan penapisan atau filtration efficiency menjadi rendah iaitu di bawah 95 peratus,” beritahu Dr Arisman.

Memperincikan lebih lanjut, kata pegawai perubatan itu lagi, pelitup muka yang dibeli itu hanyalah untuk sekali guna sahaja (single use).

Iklan

“Nak pakai untuk sehari boleh, tetapi bukan sampai dua atau tiga hari tau!,” tegasnya.

Pada masa sama, ada sesetengah orang yang kurang berkemampuan sehingga terpaksa membasuh pelitup muka untuk menghilangkan kotoran. Namun, ia bukan cara terbaik.

Iklan

“Tindakan itu bukan sahaja tidak pemberi pelindungan kepada si pemakai, malah akan lebih memudaratkan,” ujarnya lagi.

Oleh itu, saranan Dr Arisman, kaedah lainnya, orang ramai boleh membeli pelitup muka jenis kain agar ia dapat dicuci dan dipakai semula.

Mengenai cacing yang terdapat pada pelitup muka pula, respons beliau, sejak 13 tahun dalam dunia perubatan, beliau belum pernah beliau menemui kes sebegitu. Pendek kata, ia sangat mengarut.

Selain itu, pesannya lagi, tidak perlu menyembur alkohol pada pelitup muka kerana itu sangat bahaya.

Artikel berkaitan: Demam kompaun SOP! Sangkut pelitup muka di dagu juga boleh disaman RM10,000!

“Sebenarnya, sudah banyak kali saya kongsikan mengenai pelitup muka. Apa-apapun, belilah yang berkualiti dan pastikan isi didalamnya tidak kotor semasa membeli,” katanya.