WAHAI anak Muda Malaysia! Korang yang berusia 18 hingga 40 tahun. Belum bekerja dan tidak melakukan sebarang aktiviti.

Ayuh! Khidmat korang diperlukan bagi membantu proses pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia.

Jangan tunggu lagi, rebut peluang mencari pengalaman berharga sebagai Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

MyVAC merupakan inisiatif hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Kementerian Belia & Sukan (KBS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS) untuk membantu melancarkan program imunisasi kerajaan dengan menempatkan individu yang bersedia berkhidmat dalam pasukan vaksinasi.

Program mobilisasi sukarelawan itu akan menjadi instrumen penting dalam kempen vaksinasi negara bagi mencapai imuniti kelompok (Herd Immunity).

Oleh itu, MySukarela ditubuhkan untuk menyokong pelaksanaan MyVAC dengan berkesan. Ia membantu mengisikan keperluan tenaga kerja bagi pelaksaanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menempatkan sukarelawan yang bersemangat daripada semua lapisan masyarakat.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan di 605 PPV di seluruh negara.

Dengan mendaftarkan diri, korang boleh memilih untuk berkhidmat di kawasan mengikut masa pilihan.

Jadi buat semua warga Malaysia yang bersedia dan berkemampuan, ayuh menjadi sebahagian daripada pasukan bagi mengurus dan melaksanakan PICK 2021.

Program tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.

Terdapat dua jenis sukarelawan iaitu Sukarelawan Bukan Kesihatan dan Sukarelawan Kesihatan.

Sukarelawan boleh memilih sama ada menjadi sukarelawan kesihatan ataupun bukan kesihatan berdasarkan kelayakan dalam melancarkan pergerakan penerima vaksin di PPV seluruh negeri
dan daerah.

Antara skop tugasan:

Sukarelawan Kesihatan

  • Vaksinator, mengawal sick bay/ kecemasan dan konsultasi vaksin Covid-19

Sukarelawan Bukan Kesihatan

  • Membuat saringan gejala suhu, janji temu, pendaftaran, mengawal ruang menunggu

Korang boleh membuat pilihan sewaktu pendaftaran di laman web.

Bagaimanapun, untuk sukarelawan bukan kesihatan, bidang tugasan spesifik akan ditentukan oleh penyelia masing-masing di PPV nanti.

Rebut peluang jadi sukarelawan pusat vaksinasi, elaun RM50 sehari

Elaun & Sijil Sukarelawan MyVac:

Mengambil prinsip bahawa MyVac adalah satu program sukarelawan yang berlandaskan kepada semangat ingin melibatkan diri dalam usaha memastikan PICK dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kesejahteraan negara, bayaran sagu hati sukarelawan akan diberikan mengikut kadar seperti di bawah:

  • RM50 setiap sukarelawan yang bertugas selama dua sesi atau sepanjang tempoh waktu
    operasi PPV.
  • RM25 untuk setiap sukarelawan yang bertugas selama satu sesi selama enam jam.

Kad pengenalan diri dan vest akan diberikan kepada setiap sukarelawan bertugas.

Pada akhir program PICK, sijil untuk setiap sukarelawan juga akan dikeluarkan.

Jangka masa bertugas setiap sukarelawan adalah terbahagi kepada dua sesi iaitu:
Satu sesi:

  • Enam jam satu sesi. Sukarelawan MyVac perlu bertugas sekurang-kurangnya enam jam bagi mendapat bayaran token minimum.

Dua sesi:

Iklan
  • Maksimum 12 jam atau bergantung kepada waktu operasi PPV. Sekiranya terdapat PPV yang beroperasi kurang 12 jam, maka sukarelawan tersebut akan dianggap bertugas untuk satu hari.

Setiap sukarelawan boleh memilih tarikh untuk bertugas. Setiap syif bertugas adalah untuk tempoh enam jam.

Pemilihan boleh dilakukan di dalam laman web setelah berjaya dipilih menjadi sukarelawan.

Sukarelawan perlu bertugas sekurang- kurangnya tujuh hari berturut-turut.

Setiap sukarelawan boleh memilih kawasan bertugas, tetapi ia bergantung kepada kekosongan di lokasi tersebut.

Cara pendaftaran sukarelawan MyVac:

  • Mendaftar di www.myvac.com.my
  • Mengesahkan pendaftaran anda melalui emel. Pengesahan APC oleh KKM akan dilakukan untuk Sukarelawan Kesihatan (jangkaan lima hari bekerja).
  • Seterusnya, menghadiri satu latihan secara maya dan lulus. Hanya untuk sukarelawan kesihatan, satu taklimat khas akan diberikan secara maya (tarikh taklimat akan diketahui dalam laman profil).
  • Lengkapkan profil dengan mengisikan butiran bank, butiran waris terdekat dan memuat naikan gambar profil.
  • Muat turun, cetak dan mengesahkan semua borang yang berkaitan (borang-borang boleh didapati di dalam laman profil.
  • Kemudian dikehendaki untuk melaporkan diri ke Pejabat Belia dan Sukan berdekatan untuk menandatangi Surat Tawaran Sukarelawan dan mengambil kit sukarelawan.
  • Membuat pilihan tarikh, masa dan lokasi untuk bertugas. Kesesuaian dan kekosongan tarikh, masa dan lokasi akan diketahui serta-merta.
  • Tiga hari sebelum tarikh lapor diri dikehendaki untuk mengesahkan Deklarasi Saringan Covid-19 di dalam laman profil.
  • Hadir sejam lebih awal di PPV pada waktu tarikh tugas bermula (atau seperti dipersetujui oleh penyelia PPV).
  • Surat sokongan pelepasan boleh dikeluarkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah.
  • Hubungi Pejabat Belia dan Sukan Daerah yang terdekat setelah disahkan berjaya menjadi sukarelawan MyVac.
  • Namun begitu, pelepasan daripada tempat kerja atau belajar adalah dimuktamadkan oleh majikan atau institusi pengajian masing-masing.

Buat waktu ini, tiada tarikh tutup ditetapkan untuk mendaftar sebagai sukarelawan MyVac melalui link www.myvac.com.my.

Bagaimanapun, kekosongan untuk menjadi sukarelawan adalah bergantung kepada keperluan di PPV.

Iklan

Sekiranya bilangan sukarelawan di setiap PPV adalah mencukupi, korang akan diletakkan dalam senarai simpanan dan akan dimaklumkan kelak sekiranya ada kekosongan di PPV.

Sementara itu perlu diingatkan bahawa jika berjaya menyertai sukarelawan MyVac ini, ia bukan jaminan untuk mendapat vaksin lebih awal.

Baca juga Covid-19: Penyelidik kaji kesan otak pada bekas pesakit. Penemuan mereka sangat mengejutkan…

Suntikan vaksin tetap akan diberikan mengikut fasa yang telah ditetapkan.

Maklumat lanjut boleh hubungi MySukarela Hotline; WhatsApp (017-3039042) pada pukul 9 pagi – 6 petang atau e-mel info@mysukarela.com.

Bersama kita memudahkan urusan pemberian vaksin pada seluruh rakyat Malaysia.

Sumber: eCentral