Rebut peluang musim cuti sekolah ajar anak mengaji, doktor dedah cara mudah tarik minat si kecil

MUSIM cuti sekolah yang panjang menjelma lagi. Pada ketika inilah ibu ayah berpeluang untuk memberi anak-anak lebih perhatian.

Ibu bapa boleh mendidik anak tentang agama Islam seperti mengajar solat dan mengaji.

Bila sebut pasal mengaji, pasti ramai ibu bapa yang mengalami masalah anak malas atau kurang minat.

Merotan, memarahi dan menggunakan cara paksaan terhadap anak seawal usia untuk mengaji hanya akan membuat mereka hilang rasa ingin belajar mengaji.

Ibu bapa boleh guna tip yang dikongsi seorang doktor dikenali Dr Farhuda Zulaikha ini.

Tak susah sebenarnya nak buatkan anak-anak suka mengaji. Ini antara tip mudah;

1. Mula perkenalkan anak kepada huruf hija’iyah seawal usia.

Boleh jadi melalui flashcard, puzzle, lagu, video atau buku iqra’ terus. Game pun ada tau.

2. Perkenalkan dengan silibus mengaji yang mudah

Ada banyak pilihan di luar dan kalian boleh survey serta buat pilihan sendiri. Ada yang diterbitkan dalam bentuk buku, flashcard, video dan macam-macam lagi.

Antara silibus yang terbaik adalah Iqra’. Susunan content bagi setiap tahap Iqra’ sangat mudah untuk diikuti oleh anak kecil. Tidak terlalu complicated dan tidak juga terlalu pack bagi satu-satu muka surat.

 

3. Belikan kelengkapan mengaji anak-anak sendiri

Jika punya tiga orang anak yang masih mengaji Iqra’, belikan tiga Iqra’ berbeza buat mereka. Sertakan jua dengan rehal/ atau penunjuk al-Quran.

Percayalah mereka akan lebih teruja nak mengaji menggunakan barang mereka sendiri.
Tanyakan pendapat mereka, rehal warna apakah yang menjadi pilihan hati. Raikan.

Jika anak yang sudah naik al-Quran, cuba belikan mereka al-Quran yang telah dipecahkan kepada naskhah-naskhah kecil mengikut juzuk [Beli di sini].

Selain mudah untuk dibawa ke mana-mana, ia juga menjadi motivasi buat si anak untuk menghabiskan bacaan kemudiannya boleh naik ke juz selepasnya.

Baca juga Anak demam, batuk berkahak, hingus tak hilang ikhtiar air rendaman kembang semangkuk, alternatif ubat

Kredit foto: Facebook Dr Farhuda Zulaikha

4. Sistem anugerah

Kenalkan anak kepada sistem reward. Tidak perlu yang mahal, cukup walau sekadar sticker yang ditampal di helaian yang telah lancar bacaannya. Tuliskan bersama tarikh sekali.

Semua sticker ini saya dapatkan di MR DIY sahaja dan murah. Tapi excitednya mereka tu boleh dilihat dari senyuman yang berseri-seri. Siap berebut nak pilih sticker yang mana.

Nanti lama-lama (bila mereka semakin besar) apabila mereka mampu naik bacaan kepada tahap yang seterusnya (eg, naik iqra’ atau naik juz), hadiahkan mereka benda yang lebih significant.

Contoh hadiah yang lebih besar daripada sticker adalah buku, mainan, boleh pilih movie untuk tontonan atau sebagainya. Nampak macam mengajar anak mengaji tak ikhlas kan, tapi percayalah it works!

Dahulu semasa masih kecil dan ketika baru mula-mula belajar mengaji, anak-anak sangat teruja untuk dapatkan reward sticker itu, namun percayalah, semakin lama nanti mereka dah tak kisah pun dengan reward system.

Yang mereka tahu, setiap hari kena mengaji dan hari ini bacaan mengaji haruslah lebih baik dari semalam. Boleh juga selitkan mengaji dalam logbook daily activities. Hadiahkan sticker pada logbook mereka jika berjaya laksanakan task.

5. Tetapkan waktu yang konsisten untuk sesi mengaji

Orang selalu kata tiga aktiviti keluarga ini kalau boleh cuba kita laksanakan setiap hari untuk tautkan kasih sayang sesama ahli keluarga.

  • Makan bersama
  • Solat bersama
  • Menonton bersama

Kali ini kita tambah pula lagi satu iaitu mengaji. Cuba kalian wajibkan waktu mengaji setiap hari.

Tidak dapat tidak kena pastikan seisi rumah mengaji setiap hari.

Waktu yang terbaik adalah selepas Maghrib kerana pada waktu ini ibu ayah yang bekerja pun biasanya sudah sampai di rumah.

Awal-awal nanti memang terasa berat tapi lama-lama nanti alah bisa tegal biasa.

Apabila ia dijadikan rutin, anak-anak pun automatik akan terus ambil Iqra’ atau al-Quran sebaik sahaja habis solat tanpa perlu disuruh pun.

6. Ceritakan ganjaran pahala mengaji

Ajarkan pada anak-kenapa perlu mengaji. Apa ganjaran yang akan diperoleh sekiranya kita selalu mengaji.

Iklan

Apakah kelebihan membaca surah tertentu dan ceritakan juga bacaan doa yang dipetik daripada ayat al-Quran bersama maksudnya sekali.

Baca juga Bayi selesema hingga meleleh, guna 5 petua mudah ini cepat sembuh

Kredit foto: Facebook Dr Farhuda Zulaikha

7. Ceritakan ibrah dan pengajaran dari setiap surah

Anak-anak lebih suka teknik penceritaan secara santai atau storytelling. Banyak kisah menarik yang boleh diceritakan kepada anak-anak.

Mulakan sahaja dengan surah-surah lazim. Tidak perlu setiap hari pun, boleh jadi seminggu sekali atau sebulan sekali.

Jika kita mampu hidupkan kisah semasa kita kecil, boleh sahaja kita hidupkan macam-macam cerita yang terkandung dalam al-Quran itu juga sebenarnya.

8. Perdengarkan bacaan ayat al-Quran sejak dalam kandungan

Ibu yang mengandung digalakkan mengaji setiap hari. Antara surah-surah yang digalakkan untuk dibaca ketika hamil ialah surah Luqman, Yusuf dan Maryam.

Boleh juga menggunakan adjustable headphone yang boleh dipasang pada perut ketika hamil.

Ketika anak sudah besar sedikit, kalian bukalah video mengaji kanak-kanak di YouTube.

Macam-macam pilihan ada termasuklah cerita kartun namun backgroundnya adalah bacaan ayat al-Quran. Percaya atau tidak, anak-anak pun mudah menghafal surah yang kerap mereka tonton dan dengar.

9. Doa ibu dan ayah

Iklan

Rugi sekiranya kita tidak manfaatkan kelebihan doa oleh ibu ayah.

Berdoalah apa sahaja untuk anak kalian setiap hari, jangan lupa untuk doakan mereka agar menjadi golongan yang cintakan al-Quran.

Baca juga Masuk Darjah Satu, mak ayah pastikan anak boleh buat 11 perkara ini baru mudah

10. Contoh terdekat

Akhir sekali, ibu ayahlah yang harus memainkan peranan penting untuk menjadi contoh yang baik.

Amatlah tidak patut kita menyuruh anak kita mengaji setiap hari namun kita sendiri yang culas.

Sebolehnya mengajilah kalian pada waktu yang sama mereka mengaji. ‘Riak’ dan mengajilah di hadapan mereka.

Demi mengajar anak-anak mengaji, ibu bapa kena paksa diri setiap hari sehingga istiqamah dan percayalah bila setiap hari mengaji, pasti tak lengkap jika tak mengaji walau satu hari.

Moga bermanfaat.

Sumber: Facebook Dr Farhuda Zulaikha

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.