KELANTAN FC secara rasmi telah mengumumkan logo baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan baru-baru ini.

Logo baharu Kelab tersebut memaparkan seekor rusa dengan warna rasmi bendera negeri, merah putih itu kini berjaya mencuri tumpuan penyokong The Red Warriors (TRW).

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dalam satu perkongsian di Facebook berkata, logo itu merupakan ciptaan Muhammad Afiff Hakimi Anuar yang memenangi pertandingan mencipta logo sebelum ini dan akan ditambah baik untuk dijadikan logo rasmi Kelantan FC.

Menurut Facebook TRW Kelantan FC, logo itu dipilih sendiri oleh Norizam dan pemenang utama akan membawa wang tunai RM3,000.

Namun, logo ciptaan Muhammad Afiff itu mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong TRW, namun rata-rata meminta kelab menukar rusa menjadi kijang yang merupakan identiti sebenar Kelantan.

Selain itu ada juga pihak yang mendakwa logo tersebut tidak asli dan telah diciplak apabila rekaan kepala rusa itu dilihat mirip satu rekaan dilaman web ‘stock vector’ yang kini menimbulkan persoalan ramai.

Tinjauan terhadap di laman web PNGTree juga mendapati imej kepala rusa itu masih wujud dan individu atau pihak yang ingin menggunakan boleh membeli lesen.

Namun, sejauh mana penggunaan lesen tersebut tidak dapat dipastikan dan mungkin siasatan juga akan dibuat.

Maka timbul persoalan, adakah pemenang pertandingan rekaan logo baru Kelantan FC itu membeli lesen untuk tujuan tersebut atau tidak kini menjadi tanda tanya.

Sementara itu, menjengah ke akaun Instagram milik Aliff Hakimi pula mendapati satu perkongsian pengakuan juga telah dibuat oleh beliau yang mendakwa lesen terhadap penggunaan logo tersebut sudah dibeli sebelum bergelar pemenang pertandingan logo tersebut.

Iklan

“Berani kerana benar, untuk makluman netizen mahupun penyokong TRW Kelantan, saya telah membeli vector tersebut pada hari sebelum keputusan pertandingn keluar.

“Saya juga ada bukti pembelian serta lesen kebenaran untuk digunakan kepada umum dan komersial.

“Saya harap penyokong TRW Kelantan tidak membuat keputusan dan perbualan di media sosial tanpa membuat kajian dan bertanya kepada saya,” tulisnya.

Iklan

Bagaimanapun secara keseluruhan, kebanyakan penyokong ‘berkenan’ dengan logo tersebut dan hanya meminta TRW membuat sedikit penyesuaian untuk menjadikannya lebih menarik.

Logo tersebut juga mempunyai maksud tersendiri, contohnya 10 belang merah yang sinonim dengan warna bendera Kelantan mewakili 10 daerah di negeri itu yang bergabung menyokong kebangkitan bola sepak Kelantan.