Renjatan elektrik kerap terjadi semasa banjir, lakukan 17 perkara ini

A
A
A

MUSIM tengkujuh mula melanda negara. Malah beberapa negeri di Pantai Timur sudah mula dilanda banjir.

Justeru, bagi korang yang tinggal di kawasan yang berpotensi banjir lakukan persediaan awal.

Mungkin ramai tidak menyedari risiko tinggi renjatan elektrik adalah tinggi berikutan perkakasan elektrik yang terdedah kepada air.

Apatah lagi ramai yang mengganggap banjir sebagai pesta air. Mereka bukan sahaja berisiko lemas malah boleh terdedah kepada renjatan elektrik yang boleh meragut nyawa!

Tahukah korang lebih tinggi arus elektrik maka lebih tinggi risiko kematian? Ia boleh menyebabkan pemfibrilan ventrikel (serangan jantung) yang boleh membawa maut.

Justeru, lakukan persiapan rapi. Ambil langkah berhati-hati dan berjaga-jaga kerana malang tidak berbau.

Baca juga: Banjir, air deras jangan sesekali redah, 10 perkara ini penting elak kereta hanyut dibawa arus

TIP KESELAMATAN ELEKTRIK SEWAKTU MUSIM BANJIR

Sebelum banjir

Sekiranya mempunyai masa sebelum diarah berpindah, pastikan perkara berikut dilakukan:

-MATIKAN bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama pada kedudukan ‘OFF’.

-PASTIKAN semua suis dalam keadaan ‘OFF’ dan cabutkan palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik.

-SIMPAN kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir.

-LAPORKAN segera kepadaTNB jika air telah mula naik untuk pemantauan atau pemotongan bekalan elektrik bagi mencegah bahaya.

-PASTIKAN menyimpan nombor telefon untuk hal-hal kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital, pejabat TNB yang berdekatan, dan pastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan

Baca juga: Kamera AES Jadi Bukti Curang! Isteri Terkejut Surat Saman Suami Gambar Wanita Lain

Semasa banjir

-ELAKKAN berenang atau meredah air di kawasan yang mempunyai talian elektrik, kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam di mana kadar penglihatan tidak begitu jelas.

Sekiranya paras air meningkat dan bersentuh dengan talian hidup tanpa pengetahuan anda, renjatan berlaku pada sesiapa yang berada dalam air.

-JAUHKAN diri daripada lokasi yang terdapat talian elektrik jatuh atau putus, bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.

-JANGAN menghampiri atau pegang tiang elektrik atau dawai umbang (stay wire) semasa banjir atau hujan kerana kemungkinan terdapat arus bocor.

-DILARANG menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang sebagai tiang ampaian.

-JANGAN hampiri pepasangan elektrik seperti pencawang atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air.

-JANGAN mengalih atau membaiki tiang elektrik tumbang atau talian elektrik putus atau jatuh ke tanah dan hendaklah laporkan segera kepada pihak pemegang lesen/utiliti (TNB) sekiranya terdapat kejadian tersebut.

-JANGAN menggendalikan peralatan elektrik atau memetik suis elektrik dengan tangan yang basah atau semasa berdiri dalam air.

-SEKIRANYA ternampak individu terkena renjatan elektrik akibat terkena talian elektrik, jangan sekali-kali menyentuhnya atau cuba membantu mengalihkan talian elektrik tersebut.

- AWASI anak-anak. Usah biarkan mereka bermain di dalam kawasan pencawang elektrik yang telah ditenggelami banjir atau berhampiran dengan tiang elektrik yang patah atau disekitar talian elektrik yang kendur atau jatuh di atas tanah.

Selepas banjir

- BERHATI-HATI apabila berada di kawasan banjir kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya.

Ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitarannya dan boleh membawa kepada

kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

-JANGAN gunakan kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air atau pastikan semuanya diperiksa dan berkeadaan kering sebelum menggunakannya.

-ELAKKAN mengguna kelengkapan elektrik yang diragui keselamatannya.

Sebelum menghidupkan suis utama, PERIKSA semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik yang terdapat di dalam rumah.

Pemeriksaan ini hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang bertauliah atau berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.

Harap kita semua berhati-hati pada musim tengkujuh ini. Kecuaian boleh mengundang padah.

Jom follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Suruhanjaya Tenaga, Giat Mara Parit Sulong

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca