TERDAHULU, SinarPlus pernah melaporkan legenda bola sepak dunia, Ronaldinho terpaksa berhadapan hukuman penjara enam bulan selepas didapati bersalah menggunakan pasport palsu.Bekas bintang Brazil itu ditangkap anggota polis Paraguay apabila dia dan abangnya dilaporkan menggunakan pasport palsu berkenaan untuk memasuki negara tersebut.

Namun, Ronaldinho dibebaskan oleh hakim Paraguay hari ini selepas lima bulan ditahan atas segala dakwaan dan pertuduhan ke atasnya.

Hakim Gustavo Amarilla juga membebaskan abang Ronaldinho, Roberto de Assis Moreira, yang turut ditahan selama sebulan di penjara dan empat bulan lagi menerusi tahanan rumah di sebuah hotel dekat ibu kota Paraguay, Asuncion, kerana dakwaan sama.

“Dia kini bebas untuk ke mana-mana negara di dunia tetapi mesti memberitahu kami jika dia menukar status penduduk tetap dalam tempoh setahun.

“Dia tidak dikenakan halangan kecuali perlu memenuhi tanggungjawab memperbaiki kerosakan dilakukan kepada masyarakat,” kata hakim berkenaan.

Bekas pemenang Piala Dunia yang berusia 40 tahun itu tampil memakai jeans dan berbaju hitam menerima syarat berkenaan termasuk bayaran ganti rugi $90,000 (RM375,795). Abangnya yang juga pengurus perniagaan Ronaldinho, mesti membayar $110,000 (RM459,305).

Gaya hidup mewah undang padah legenda bola sepak dunia
Ronaldinho ketika ini pasrah menerima hukuman penjara selama enam bulan selepas didapati bersalah menggunakan pasport palsu. FOTO Reuters

Mereka juga mesti berdepan hakim di Brazil setiap tiga bulan yang mana akan berlanjutan bagi Ronaldinho selama setahun dan abangnya dua tahun.

Kejadian malang itu menambah lagi derita Ronaldinho yang satu ketika dahulu sangat berjaya dalam kariernya tetapi kini dibebani dengan masalah kewangan dan diistihar muflis.

Selepas meninggalkan kelab AC Milan pada Januari 2011, pemain yang dikenali dengan barisan gigi depannya yang unik itu nekad pulang ke Brazil untuk beraksi bersama kelab Flamengo.

Ronaldinho juga pernah dilaporkan menerima gaji 100,000 pound sterling (RM540,000) seminggu pada era kegemilangannya.

Dia juga dikatakan masih memperoleh pendapatan menerusi tajaan iklan seperti CocaCola, EA Sports, Gatorade, Nike dan Pepsi.Jika dihitungkan jumlah keseluruhan kontrak miliknya, pendapatan Ronaldinho mampu mencecah sehingga 100 juta pound sterling bersamaan dengan RM540 juta. Wow, lumayan bukan?

Iklan

Namun, bak kata pepatah melayu, kehidupan ini ibarat putaran roda “kadangkala kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah”. Nasib legenda bola sepak itu mula berubah pada sekitar 2012 apabila Flamengo tidak mampu membayar penuh gajinya dan memutuskan untuk memotong gaji pemain itu.

Daripada dibayar 100,000 pound sterling terus menjunam menurun menjadi 24 ribu pound sterling bersamaan RM131,000 seminggu. Jumlah itu tidak mencukupi untuk membiayai gaya hidupnya yang mewah.

Dia kemudian berhijrah ke kelab Atletico Mineiro, Queretaro dan Fluminense. Malangnya, kontrak lumayan menerusi tajaan iklan tidak lagi disambung oleh pihak penaja.Ketika pendapatannya terus merosot, Ronaldinho masih mengamalkan gaya hidup yang tinggi sekali gus menyaksikannya berdepan masalah kewangan yang serius.

Iklan

Dia terpaksa menggadaikan beberapa aset peribadi untuk membayar kesemua hutang. Dan kini, ramai yang ternanti-nantikan perkembangan selanjutnya Ronaldinho. Adakah nasibnya akan berubah?

Sinar Plus suka berkongsi lagi satu pepatah, Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Kita mesti selalu berwaspada dan beringat-ingat terutama berkenaan hal wang dan harta benda, sebelum ia habis atau terlambat.

Gunung pun kalau hari-hari ditarah boleh rata tau!