RUMAH Ronald McDonald ketiga di negara ini kini membuka pintu secara rasmi kepada keluarga pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di Hospital Tunku Azizah, sebelum ini dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

Rumah Ronald McDonald merupakan rumah penginapan sementara yang bertujuan untuk memenuhi keperluan keluarga pesakit kanak-kanak dari luar Kuala Lumpur, di samping membantu meringankan beban kewangan mereka dengan menyediakan penginapan pada harga berpatutan di bandar iaitu hanya RM15 semalam.

Terletak di tingkat 10 kompleks parkir hospital itu, rumah ini dilengkapi dengan 20 bilik keluarga yang mampu memuatkan sehingga 80 orang penghuni, ruang makan, ruang rehat, dapur, bilik dobi, surau, dan ruang permainan, serta kemudahan lain.

Lokasinya yang strategik, iaitu di tengah-tengah KL membolehkan penghuni menikmati keindahan pemandangan bandaraya pada waktu malam.

Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah buka pintu secara rasmi kepada keluarga pesakit

Apa yang penting, rumah ini menawarkan persekitaran yang kondusif dan selesa kepada pesakit semasa menjalani pemulihan, dan lokasinya di kawasan hospital memudahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan dan berada dekat dengan keluarga mereka.

Keluarga yang berminat untuk menginap di Ronald McDonald House di Hospital Tunku Azizah boleh menghubungi talian 03-2692000 untuk maklumat lanjut.

Selain Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah, dua lagi Rumah Ronald McDonald terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) di Kuala Lumpur, yang telah beroperasi lebih dari 20 tahun, dan di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian, Kelantan, yang dibuka pada tahun 2019.

Pada masa ini, terdapat lebih daripada 370 Rumah Ronald McDonald di seluruh dunia, yang menyediakan penginapan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak yang dirawat di hospital.

Presiden Ronald McDonald House Charities Malaysia serta Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada yang terlibat membina rumah tersebut

“Kami di RMHC Malaysia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan dan pembangunan semua Rumah Ronald McDonald.

“Pembiayaan kesemua rumah ini adalah daripada hasil sumbangan pelanggan McDonald’s menerusi kotak duit syiling RMHC yang terdapat di lebih 300 restoran McDonald’s di seluruh negara serta sumbangan daripada warga kerja, rakan niaga, dan francaisi McDonald’s.

“Terima kasih atas kemurahan hati anda semua terhadap misi kami untuk mengubah kehidupan anak-anak Malaysia. RMHC Malaysia akan terus memperjuangkan keperluan anak-anak Malaysia melalui dana yang kami terima daripada rakyat Malaysia yang pemurah,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr Shamsul Anuar turut mengatakan Rumah Ronald McDonald tersebut amat memudahkan golongan B40 terutamanya.

“Hospital Tunku Azizah merupakan sebuah hospital rujukan kebangsaan dan pusat kecemerlangan perkhidmatan perawatan khusus, termasuk pediatrik. Pesakit yang dirujuk ke sini datangnya dari segenap pelosok negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah buka pintu secara rasmi kepada keluarga pesakit

“Rumah Ronald McDonald di premis hospital pastinya akan memberi ketenangan fikiran kepada lebih daripada 20,000 keluarga yang berulang alik ke hospital ini setiap tahun, terutama golongan B40. Rumah ini akan meringankan beban kewangan keluarga dari luar Kuala Lumpur yang memerlukan tempat penginapan dan pengangkutan ketika menemani anak-anak mereka di hospital.

“RMHC Malaysia juga komited untuk menyediakan kemudahan yang memanfaatkan masyarakat. Kami berharap melalui kerjasama berterusan dengan Kementerian Kesihatan, terutamanya hospital yang mempunyai bilangan pesakit yang tinggi, kami dapat terus mengotakan janji kami untuk ‘Keeping Families Close’ atau memastikan keluarga sentiasa berada dekat melalui inisiatif Rumah Ronald McDonald ini,” tambah Azmir.

Baca juga #SiBibirMerah: Pakai baju sesuai untuk vaksinasi. Jangan over melaram, bukan nak ke mall

Iklan

RMHC Malaysia menjayakan 4 program utama untuk menolong anak-anak Malaysia, iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Gift of Smile, dan pek Kembali-Ke-Sekolah. Kesemua program ini merangkumi 3 teras utama RMHC Malaysia iaitu Kesihatan, Pendidikan, dan Kebajikan.

Selain daripada kotak duit syiling RMHC Malaysia, pelanggan juga boleh menyumbang melalui Kios Pesanan Sendiri di restoran McDonald’s dan juga secara pemindahan dana ke akaun RMHC Malaysia dengan Maybank, gerbang pembayaran PayPal, saluran e-dagang Shopee atau platform e-dompet Boost dan Touch ‘N Go.

Boleh menghubungi Ronald McDonald House Charities Malaysia di talian 03-7843 3388 jika anda berminat untuk menderma atau bekerjasama dengan RMHC Malaysia bagi membantu kanak-kanak Malaysia dan keluarga mereka.

Di samping itu, orang ramai juga dialu-alukan untuk menjadi sukarelawan di Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah atau Rumah Ronald McDonald yang berhampiran dengan mereka.