Saguhati RM1,000 untuk rakyat Kelantan yang ingin berkahwin, perlu lepas 9 syarat utama
ISLAM amat menggalakkan umatnya melangsungkan perkahwinan bagi mewujudkan ikatan yang sah antara lelaki dan wanita.
Menerusi perkahwinan, ia mewujudkan rasa bertanggungjawab selain menghindar perlakuan zina.
Namun, tahukah anda, bagi golongan miskin dan kurang berkemampuan, kalian layak menerima sumbangan keraian nikah sebanyak RM1,000 menerusi Skim Gerbang Az-Ziwaaj yang dilancarkan kerajaan negeri sejak sembilan tahun lalu.
Apa itu ‘Skim Gerbang Az-Ziwaaj?
Skim Gerbang Az-Ziwaaj adalah satu skim/saguhati khas kepada pasangan pengantin yang telah diluluskan oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan.
Apakah Objektif Skim Gerbang Az-Ziwaaj?
Menjaga kebajikan rakyat, meringankan beban kewangan dan mengelak daripada terjebak dengan gejala sosial.
Apakah bentuk pemberian yang diberikan oleh Kerajaan Negeri?
Wang tunai bernilai RM1,000.00 dalam bentuk cek (atas nama calon) diberikan kepada calon yang layak berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.
Apakah syarat kelayakan bagi seseorang untuk memohon ‘Skim Gerbang Az-Ziwaaj’ ini?
Syarat kelayakan bagi memohon skim ini adalah seperti berikut :
- Warganegara Malaysia.
- Rakyat Kelantan yang dilahirkan di Kelantan (no. kad pengenalan bermula 03 @ 29), atau dapat membuktikan telah bermastautin di Kelantan melebihi 15 tahun.
- Pendapatan bulanan pemohon dan pasangannya hendaklah tidak melebihi RM700.00 sebulan.
- Perkahwinan yang pertama sahaja (hanya layak untuk 1 kali tuntutan).
- Pemohon mestilah tergolong dalam kategori miskin dan perlu dibantu (mengikut kriteria dan budi bicara kerajaan negeri).
- Layak dituntut oleh salah seorang sahaja, sama ada lelaki atau perempuan.
- Permohonan mestilah disertakan bersama sijil-sijil dan dokumen yang disahkan iaitu salinan kad pengenalan, surat beranak, sijil pra perkahwinan, borang pemeriksaan kesihatan dan 2 keping gambar berukuran passport.
- Kerajaan berhak menarik balik kelulusan jika maklumat yang diberikan adalah tidak benar.
- Borang yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan di Pejabat Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Blok 7, Kompleks Kota Darulnaim, 15503 Kota Bharu, Kelantan, sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh perkahwinan.
Bagaimana cara untuk memohon ‘Skim Gerbang Az-Ziwaaj?
Cara untuk memohon adalah dengan mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi di :
- Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri
- Kaunter Khidmat Pelanggan Kota Darulnaim
- Pejabat Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Blok 7, Kompleks Kota Darulnaim, 15503 Kota Bharu, Kelantan atau muat turun daripada website Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO di http://www.upibsn.kelantan.gov.my/v2
- Muat turun daripada facebook Gerbang Az-Ziwaaj.
Siapakah yang layak untuk memohon?
Mereka yang memenuhi syarat-syarat di atas dan telah berkahwin pada atau selepas 1 Januari 2011.
Saguhati akan disampaikan oleh YB ADUN masing-masing pada majlis yang sesuai (misalnya kenduri perkahwinan).
Semoga bermanfaat!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang