KEPUTUSAN kerajaan tidak membenarkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke luar negara untuk menyertai saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 Zon Timur di Doha, Qatar adalah demi kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia.

Demikian jelas pemilik JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim meskipun mengakui keputusan itu termasuk pembatalan saingan Piala Malaysia 2020 susulan keputusan kerajaan menangguhkan kejohanan tertua Asia Tenggara itu satu keputusan yang berat untuk diterima.

Menurut Tunku Ismail, kes Covid-19 semakin meningkat dan situasi tersebut akan menjejaskan kelangsungan hidup jika ia berterusan.

“Walaupun tindakan membatalkan kejohanan Piala Malaysia dan tidak membenarkan JDT untuk bertanding di Liga Juara-Juara AFC adalah satu keputusan yang berat untuk diterima, saya yakin kerajaan telah melakukannya demi kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia.

“Tambahan pula keluarga-keluarga semua pihak terbabit kerana kes-kes Covid-19 semakin meningkat dan situasi ini akan menjejaskan kelangsungan hidup jika berterusan,” kata TMJ dalam laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.

Dalam pada itu, khabar terbaharu, bintang bola sepak dunia, Mohamad Salah yang baru-baru ini turut dilaporkan dijangkiti Covid-19, meyakinkan Tunku Ismail bahawa kelabnya, JDT juga tidak boleh mengambil risiko jika tetap menyertai semula Liga Juara Asia (ACL) 2020 di Qatar.

Salah juga mungkin punca mengapa MKN larang JDT ke ACL!

Liga tersebut sepatutnya seperti apa yang telah dijadualkan ia akan berlangsung pada 18 November hingga 13 Disember ini.

Walaupun bintang Liverpool dan Mesir itu dilaporkan tidak menunjukkan sebarang gejala, tegas Tunku Ismail, pandemik berkenaan terbukti boleh berlaku di mana-mana sahaja dan sesiapa sahaja tidak akan terlepas daripada ancamannya.

“Sesiapa sahaja tidak terlepas daripada ancaman Covid-19. Sebagai contoh pemain bintang Mesir, Mohamad Salah juga telah disahkan positif apabila tiba untuk perlawanan antarabangsa walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Ini boleh berlaku di mana-mana sahaja dan kita tidak boleh mengambil sebarang risiko,” ujar TMJ.

JDT yang merupakan juara Liga Super 2020 sepatutnya dijangka meneruskan kempennya dalam saingan Kumpulan G dalam ACL.

Iklan

Salah juga mungkin punca mengapa MKN larang JDT ke ACL!

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan JDT tidak dibenarkan ke luar negara susulan keputusan kerajaan yang masih kekal menutup pintu sempadan negara.

Iklan

MKN turut membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 selepas berpendapat sukan itu melibatkan sentuhan antara pemain yang boleh menyebabkan risiko jangkitan Covid-19.