TERDAHULU, Zoo Negara dilaporkan mengalami masalah kewangan yang teruk berikutan penurunan penjualan tiket.
Dilaporkan hanya mempunyai dana yang diperuntukkan oleh Persatuan Zoologi Malaysia (MSZ) cukup untuk memberi makan haiwan untuk tempoh selama 3 bulan sahaja.

Ekoran daripada kemelut kewangan itu, pihak pengurusan zoo terpaksa memohon bantuan dana dan derma daripada masyarakat agar mereka dapat terus menampung perbelanjaan dan pengurusan haiwan-haiwan di zoo.

Terpalit dengan masalah yang hampir sama, Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) juga kini mengambil langkah serupa dengan membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai program pengambilan haiwan angkat bagi menampung kos keperluan makanan haiwan di lokasi tersebut.

Memetik laporan portal media tempatan, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiada kemasukan pelancong ke Langkawi mengakibatkan pelawat ke taman haiwan itu turun mendadak sekali gus memberi kesan kepada kos operasi.

Difahamkan, sumber utama pendapatan THLL ialah menerusi jualan tiket masuk, tetapi berikutan PKPB pendapatan terjejas kerana kurangnya pelawat datang.

THLL membuka peluang sesiapa sahaja dalam kalangan orang ramai menyertai program haiwan angkat bagi membantu THLL mencari dana untuk mendapatkan sumber makanan haiwan yang kini terjejas.

Terdapat lebih 10 haiwan terlibat untuk program haiwan angkat tersebut seperti ‘Sarip’ (rakun), Mingo’ (burung flamingo), ‘Leman’ (burung kakaktua) dan beberapa spesis haiwan lagi.

'Sarip', 'Mingo', 'Leman' dan yang lain sedia untuk dijadikan haiwan angkat

Selain program pengambilan haiwan angkat, orang ramai boleh memberi sumbangan bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga bantuan seperti dedak dan sayur-sayuran.

Iklan

Sementara itu, bagi menarik kehadiran pengunjung, THLL juga kini memberi potongan harga tiket masuk pada kadar yang sangat rendah.

Seperti warga Langkawi, tiket masuk dikenakan hanya RM10 untuk dewasa dan kanak-kanak sementara tawaran itu sah hingga 30 November sahaja.

Iklan

Bagi penduduk Kedah (luar Langkawi) dan Perlis pula bayaran tiket dikenakan sebanyak RM20 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook Langkawi Wildlife Park dan laman sesawang https://langkawiwildlifepark.com.