Segarnya bila tengok rumah ini... tanam pokok dalam rumah di tingkat 16
FUH segarnya! Itulah yang boleh digambarkan apabila melihat hasil sentuhan dekorasi laman dan rumah dipenuhi tumbuhan hidup.
Bukan mudah untuk menampilkan seni hiasan dengan pokok hidup di dalam rumah. Banyak faktor yang perlu diberi tumpuan.
Namun ia tidak mustahil bagi seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Affendi Isa, yang berjaya membuktikan apabila menggunakan konsep 'hutan rimba' di aras 16, Presint 8, Putrajaya.
Katanya kepada SinarPlus, beliau memang sangat suka kepada interior design.
"Apabila timbul minat yang mendalam, mulalah mencari ilham dengan membaca buku-buku deko dan menyertai grup deko di Facebook."Kerana melihat ruang balkoni yang sangat kosong, saya terpikir untuk bercucuk tanam. Saya bermula dengan tanaman kaktus dan diikuti dengan pokok berdaun," ujarnya.
Menurutnya, pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya dengan menambah tanaman sehinggalah di dalam rumah.
"Cuma saya ni bukan sekadar tanam pokok ikut suka, saya banyak membaca dan tanya orang pokok mana yang sesuai untuk indoor dan kurang dapat cahaya matahari."Susun atur pula saya sangat titik beratkan sebab saya tak nak nampak serabut dan ia mesti sesuai dengan konsep deko dalam rumah," katanya yang berasal dari Terengganu itu.
Katanya Affendi juga, memiliki anak-anak kecil juga bukan penghalang untuk berdeko.
"Mula-mula mereka ada juga kacau tapi kita kena ajar dari awal. Anak-anak suka alihkan dan sentuh pokok-pokok (make sure jangan tanam pokok yang bahaya untuk kanak-kanak dalam rumah)."Di sini kita kena sentiasa ingatkan mereka, 'jangan main', 'jangan sentuh' nanti jatuh atau pecah dan sebagainya setiap kali mereka berbuat demikian dengan nada bersahaja dan tidak marah.
"Biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 bulan, anak-anak yang berumur bawah dua tahun pasti akan mengulangi perkara yang sama, maka arahan kita mesti konsisten.
"Tak perlu menengking atau guna nada marah-marah pun. Lama kelamaan mereka akan faham dan tak akan mengulanginya," kata bapa kepada empat anak itu.
Artikel berkaitan: Langkah berhemat penggunaan air, mampu membantu di saat hadapi gangguan bekalan!
Katanya lagi, setiap pokok ada cara penjagaan yang berbeza.
"Kaktus dan sukulen lain cara jaga, pokok dalam rumah lain dan kat balkoni lain. Kena rajin membaca, sebab ini bukan bidang saya jadi saya banyak belajar daripada pengalaman. "Saya pilih pokok yang kurang maintenance, maksudnya tak memerlukan siram setiap hari. Sekali atau dua kali seminggu sahaja."Waktu saya siram biasanya petang lepas balik kerja atau awal pagi sebelum ke pejabat. Saya juga menggunakan baja jenis slow-release yang boleh tahan 3-6 bulan, jadi tak perlu la baja tiap bulan," katanya.
Tip cara menanam pokok dalam rumah:
1. Sesuaikan pokok dengan keperluan cahaya. Ada pokok suka kena matahari direct dan ada yang tak suka.
Contoh: Kaktus suka matahari direct so kena letak luar rumah, tapi pokok Calathea tak suka matahari direct so boleh letak dalam rumah yang ada cahaya terang.
2. Siram hanya bila tanah betul-betul kering atau pokok ada tanda-tanda perlukan air seperti daun layu atau bergulung. Air berlebihan boleh menyebabkan akar rosak. Siram sikit-sikit sahaja bagi tanah basah, perlu sampai melimpah.
3. Medium tanah yang poros - campuran tanah, batu, perlite dan pumice, saya buat sendiri. Tapi boleh juga yang dah premix dijual dekat nurseri. Pokok indoor (tak semua) biasanya tidak suka air bertakung lama.
4. Pastikan pasu ada lubang. Tapi boleh juga yang tak ada lubang, pastikan tahu buat layer kat dalam pasu untuk filteration dan ventilation.
5. Baja - recommend baja yang slow release.
6. Pastikan air tak bertakung utk elakkan nyamuk
7. Guna serbuk insecticide untuk halang serangga seperti semut, ulat yang hidup dalam tanah.
Tip siram pokok supaya tidak mengotorkan lantai:
1. Gunakan alat penyiram yang ada muncung, supaya air terus di siram ke dasar pokok/tanah bukannya ke daun. Kalau ke daun, air akan melimpah ke atas lantai. Lainla kalau pokok-pokok yang kat laman rumah atas tanah, boleh siram terus ke daun-daun pokok.
2. Jangan siram dengan banyak, memadai untuk basahkan tanah. Pokok-pokok yang ditanam dalam pasu/container tidak memerlukan air yang banyak seperti pokok-pokok yang ditanam atas tanah di laman rumah. Air yang banyak boleh menyebabkan akar pokok mati.
3. Gunakan pasu yang sesuai sama ada yang jenis ada pelapik atau gunakan pasu dua lapis sebagai pasu pendua yang tiada lubang di dasarnya.
4. Pastikan tempoh siraman mengikut keperluan pokok. Ada pokok perlu siram tiap-tiap hari dan ada yang perlu siram 3-7 hari sekali.
5. Misting atau semburan kabus elok dibuat 2-3 kali seminggu ke daun-daun pokok. Semburan misting ni tak menyebabkan air meleleh keluar ke lantai balkoni.
Nota: Semua tips ini adalah berdasarkan pengalaman Affendi semata-mata dan tidak diambil dari mana-mana pembacaan atau rujukan.
Semoga perkongsian ini boleh dijadikan inspirasi dan bermanfaat buat semua.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang