SETIAP pasangan yang berumah tangga pastinya mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri keluarga. Namun, tidak semua diberi kesempatan untuk memiliki zuriat sendiri secara semula jadi.

Seiring dengan kemajuan teknologi, pelbagai kaedah rawatan saintifik dibangunkan saban tahun bagi memastikan keinginan individu untuk memiliki anak tercapai.

Terbaharu, pasangan selebriti popular Nick Jones dan isterinya, Priyanka Chopra mengumumkan baru menimang cahaya mata pertama melalui kaedah ibu tumpang.

 

Baca juga: Priyanka Chopra, Nick Jonas timang anak menerusi khidmat ibu tumpang

 

Memetik laporan Pinkvilla, bayi perempuan itu dijadualkan lahir sekitar bulan April. Bagaimanapun, ibu bayi berkenaan terpaksa melahirkan kanak-kanak terbabit 12 minggu lebih awal.

Menurut laporan, bayi dan ibu masih mendapat rawatan di sebuah hospital yang terletak di Selatan California, Amerika Syarikat.

“Priyanka berusaha menyiapkan penggambaran filemnya sebelum bayi tersebut dilahirkan sekitar April depan. Namun, sekarang segala perancangan telah berubah,” kata sumber.

Sebenarnya, sekitar dua dekad lalu, cara tersebut dianggap asing terutama dalam kalangan selebriti antarabangsa.

Namun, sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa artis lain yang turut memilih ibu tumpang sebagai solusi mendapatkan anak.

Justeru, jom semak empat lagi artis terkenal Hollywood yang turut menggunakan kaedah ibu tumpang atau surrogate mother:

1. Kim Kardashian dan Kenya West

Pasangan Kim Kardashian dan Kenya West yang mendirikan rumah tangga sekitar bulan Mei 2014 dikurniakan empat orang cahaya mata.

Bagaimanapun, dua daripada anak selebriti itu diperoleh menerusi kaedah ibu tumpang iaitu Saint dan Chicago.

Keputusan Kardashian yang memilih cara ibu tumpang itu secara tidak langsung telah memicu khabar angin mengatakan dirinya enggan bentuk badan berubah selepas bersalin.

Namun, tuduhan itu ditentang oleh beliau dengan alasan mengalami masalah kesihatan.

2. Amber Heard

Aktres yang juga bekas isteri kepada aktor popular, Johnny Depp, Amber Heard turut menggunakan kaedah sama ketika menyambut kehadiran cahaya mata pada April tahun lalu.

Heard yang mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk memiliki anak itu akhirnya terlaksana denan kehadiran anak perempuan yang diberi nama Oonagh Paige Heard.

Iklan

3. Sarah Jessica Parker dan Matthew Broderick

Setelah memiliki seorang anak lelaki, James Wilkie Broderick sekitar 2002, pasangan Sarah Jessica Parker dan Matthew Broderick menyambut kehadiran sepasang bayi kembar pada 2009.

Difahamkan, Parker telah melakukan pelbagai kaedah rawatan seperti IVF (In vitro fertilization), namun masih tetap gagal.

Disebabkan itu, beliau telah memilih untuk menggunakan ibu tumpang sebagai usaha memperoleh Marion Loretta Elwell Broderick dan Tabitha Hodge Broderick.

4. Alec dan Hilaria Baldwin

Nama aktor Alec Baldwin menjadi perbualan hangat selepas kejadian meragut nyawa di set penggambaran filem lakonan beliau sekitar penghujung tahun lalu.

Iklan

Namun begitu, beliau dan isteri menjadi antara pasangan Hollywood yang turut menggunakan kaedah ibu tumpang bagi memperoleh cahaya mata.

Pasangan itu dikurniakan seorang bayi perempuan yang diberi nama Lucia sekitar Mac tahun lalu.

Lebih mengejutkan, Hilaria sendiri telah melahirkan seorang bayi lelaki lima bulan sebelum kemunculan Lucia.

Disebabkan itu, ramai peminat terkejut ketika Alec mengumumkan kehadiran anak keenamnya, Lucia sebaiknya sahaja selepas Hilaria melahirkan Eduardo sekitar Oktober 2020.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram