Selangor tawar 10,000 peluang pekerjaan bagi mereka yang terkesan akibat Covid-19
BERITA baik! Bagi korang yang hilang pekerjaan, kerajaan Negeri Selangor kini menawarkan 10,000 peluang pekerjaan menerusi Inisiatif Selangor Kerjaya bagi menangani isu penawaran pekerjaan pasca pandemik Covid-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif yang diumumkan itu merupakan program pengurusan bakat serta tenaga kerja yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan peruntukan RM58 juta.
Sementara itu, inisiatif itu juga akan menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran tenaga kerja melalui kaedah pemprofilan, peningkatan kemahiran dan penempatan kerja dalam tempoh tiga tahun.
Kerajaan negeri Selangor juga menyasarkan 2,000 peluang pekerjaan akan diisi tahun ini oleh graduan lepasan institut pengajian tinggi, pelajar lepasan sekolah menengah termasuk latihan vokasional dan tenaga kerja yang telah diberhentikan.
Jika ingin memohon, korang akan melalui program latihan yang ditetapkan secara dalam talian dengan majikan selama setahun bagi mengasah bakat dan kemahiran.
Pemohon juga juga akan menjalani proses pementoran supaya dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam pekerjaan tersebut.
Melalui inisiatif itu, kerajaan negeri juga menyasarkan dapat meneroka peluang dalam industri aeroangkasa susulan lebih 60 peratus pendapatan bidang tersebut disumbang oleh syarikat seperti GE Engine Services Sdn Bhd, Aerobus Malaysia dan UMW Aerospace Sdn Bhd yang beroperasi di Selangor.
“Keadaan ini menjadikan Selangor sebagai hab utama bagi industri aeroangkasa di Malaysia dan dengan menyediakan tenaga kerja mengikut keperluan industri berkenaan, negeri Selangor dapat terus mengekalkan dan mengembangkan bidang tersebut.“Selangor ingin menarik minat industri bernilai tinggi untuk melabur di negeri ini dan akan menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang akan menaik taraf upah penggajian tenaga kerja dalam melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi,” katanya semasa melancarkan inisiatif itu secara maya di laman Facebook Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) semalam.
Beliau juga menambah, kerajaan negeri akan membangunkan pangkalan data tenaga kerja bersepadu termasuk kerangka kemahiran kerjaya dalam sektor aeroangkasa agar latihan yang diperlukan dapat disediakan untuk menyokong industri bernilai tinggi selain menghadapi cabaran pekerjaan pada abad ke-21.
Tambahan pula kini laman sesawang Selangor Kerjaya juga telah dibangunkan bagi melancarkan proses pelaksanaan inisiatif tersebut dan individu berminat boleh berdaftar secara online dengan melayari www.selangorkerjaya.com.my.
Pendaftaran dibuka kepada tenaga kerja dan juga majikan yang berminat untuk mendapat pekerja menepati permintaan industri di samping memanfaatkan program latihan disediakan untuk membantu tenaga kerja terpilih terus membina kemahiran mereka.
Semoga bermanfaat dan selamat mencuba!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang