HANGAT, penuh informasi dan menceriakan. Itu tiga perkataan yang merumuskan sambutan ulang tahun SinarPlus yang pertama, Yass Satu Tahun Yang Awesome-SinarPlus Versary yang berlangsung 15 jam berturut-turut pada Isnin lalu.

Durasi yang panjang itu bagi menghargai sokongan dan memenuhi permintaan pembaca SinarPlus yang mahu terlibat secara langsung terutama dalam segmen Happy Hour!-SinarPrise dan $inarPulu$.

Seawal pagi lagi, pelayar Facebook SinarPlus sudah membanjiri halaman maya untuk mendengar jawapan yang ditanyakan oleh pembaca SinarPlus kepada pasangan pendakwah terkemuka negara, Ustaz Muhidin Mokter dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki menerusi rancangan Soal Jawab Netizen (SJN) Agama.

Soal Jawab Netizen Edisi Agama bersama Ustaz Muhidin Mokter dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

Pengacara Addy Junaidi juga sempat membacakan beberapa soalan yang dilontarkan oleh pembaca menerusi ruangan komen ketika siaran langsung.

Momentum pagi yang hangat itu kemudian dirancakkan lagi dengan kehadiran jurumekap tersohor tanah air, Mea Sukri yang menjadi tetamu khas dalam SJN Sihat Cantik.

Ketika sesi Soal Jawab Netizen Edisi Sihat Cantik.

Seperti dijangka, persoalan mengenai masalah kulit wajah di sebalik pemakaian pelitup muka antara yang paling banyak ditanya oleh warganet kepada Mea.

Berdasarkan komen, nampaknya ramai yang berpuas hati sebaik jurumekap tersebut berkongsikan jawapan yang cukup konkrit.

Ternyata, kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Hushim Motivational & Counselling Consultancy, Hushim Salleh pada waktu puncak, tengah hari merupakan saat yang ditunggu-tunggu.

Interaksi Addy, Hushim berserta kombinasi soalan-soalan yang berkisar asam garam rumah tangga menjadikan program berkenaan penuh vibrant apabila sarat dengan nasihat, panduan berguna dan diserikan dengan hilai tawa yang menghiburkan.

Jawapan konkrit

Pada sebelah petang pula, rancangan online yang semakin popular di Malaysia, Borak Bibir Merah (BBM) mengambil posisinya.

BBM merupakan program yang membincangkan perihal wanita dari segala aspek.

Sempena edisi khas SinarPlus Versary ini, pengacara yang tidak asing lagi dan petah berbicara, Fiza Frizzy mengendalikan BBM dengan tajuk Dominasi Wanita, Lelaki Tercabar? sambil ditemani dengan Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Segmen pertama diisi dengan tetamu undangan, Pengarah Eksekutif Menara Rezeki Sdn Bhd, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menjadi tumpuan ramai.

Kejujuran beliau menjawab setiap persoalan tentang pengalaman dan pahit manis perkahwinannya mencuri tumpuan. Nurulhidayah juga dilihat berjaya membuka mata masyarakat tentang gambaran positif seorang ibu tiri yang sering digambarkan dari sisi negatif.

Kemudian, kemunculan selebriti, produser filem dan teater, ahli perniagaan yang juga idola ramai rakyat Malaysia, Puan Sri Tiara Jacquelina yang dinanti-nantikan mengambil alih BBM segmen kedua sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Semangat, ilmu, visi, misi, suntikan keyakinan dan auranya yang masih mencengkam menjadikan program itu berjaya menyuntik inspirasi dalam kalangan para pelayar terutama kaum Hawa.

Seperti kata Tiara: “Sejak kecil lagi, saya tak pernah fikir dan berasakan saya ada kekurangan sebagai seorang perempuan, saya boleh cabar lelaki. Bagi saya, kalau saya melakukan sesuatu kerja, orang boleh rasakan passion kita, bukan sebab perempuan atau lelaki.”

Kerancakan sesi dialog berkenaan membuatkan ramai pelayar mengatakan 45 minit bersama beliau masih tidak cukup!

Begitu juga dengan segmen khas, The Story of Datuk Aznil Nawawi. Pendedahan eksklusif beliau bagaimana dirinya dikecam ketika mengendalikan sebuah rancangan hiburan popular era 1990-an begitu mengharukan warganet ditambah dengan tangisannya ketika membutirkan setiap baris ayat.

Datuk Aznil Nawawi (kanan) ketika sesi bersamanya baru-baru ini.

Pendek kata, keseluruhan isi cerita seorang figura bernama Aznil penuh dengan plot kehidupan yang berwarna-warni. Sesungguhnya, kejayaan yang dikecapi sekarang bukan mudah seperti yang disangka oleh ramai pihak.

Kemudian, rancangan pada petang Isnin lalu diakhiri dengan program SJN Medik yang menampilkan Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman.

Semasa sesi Soal Jawab Netizen Edisi Medik bersama Dr Arisman.

Ketika siaran berlangsung, topik berkisar tentang hipertensi atau tekanan menjadi soalan kegemaran dan paling banyak ditanya oleh para pelayar Facebook Live SinarPlus.

Interaksi dua hala antara Dr Arisman berjaya merungkai pelbagai soalan yang membelenggu orang ramai

Iklan

Penghargaan

Seperti yang diuar-uarkan, sempena ulang tahun pertama, kami menjanjikan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi.

Antaranya berupa gajet bernilai tinggi, makanan, produk kesihatan yang diiktiraf, baucar, helaian tudung, telefon pintar dan banyak lagi.

Enam segmen Happy Hour!-SinarPrise yang disiarkan selepas segmen SJN, BBM dan The Story Of Pak Nil menerima sambutan yang cukup meriah daripada pelayar yang berada di Semenanjung Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Masing-masing tampil dengan jawapan yang tepat, namun pemenangnya dipilih secara telus daripada juri yang telah dilantik.

Kemuncaknya, acara yang paling ditunggu-tunggu iaitu $inarPulu$ yang memberi lima pembaca SinarPlus memenangi iPhone 12 dan iPhone XR tajaan Acorn Communication berserta dengan wang tunai tajaan LBS Bina Group Berhad.

Permainan dalam $inarPulu$ begitu menghiburkan kerana mengembalikan rancangan popular pada satu ketika dulu iaitu Wheel of Fortune dan Roda Impian.

Soalan-soalan yang dikemukakan juga amat mudah sehingga penyertaan yang diterima begitu memberangsangkan sekali.

Iklan

Pada kesempatan ini, kami, sidang redaksi SinarPlus ingin mengucapkan terima kasih kepada semua para pembaca SinarPlus yang memeriahkan sambutan ulang tahun kami yang pertama.

Kami berjanji akan terus menyajikan artikel-artikel yang berinformasi dan bermutu tinggi. Terus menyokong kami dan jadikan SinarPlus yang merupakan sisipan gaya hidup dalam akhbar Sinar Ahad menjadi wadah utama anda pada hujung minggu.

Bermula pada bulan ini juga, akhbar berpengaruh ini diperluaskan lagi dengan pengenalan Sinar Islam Plus yang bakal mengupas isu-isu kontemporari dan gaya hidup terkini menurut perspektif Muslim dari dalam dan luar negara secara menyeluruh melalui pendekatan yang lebih objektif dan pragmatik.

Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan sekali lagi kepada semua penaja yang menyokong SinarPlus Versary.

Antaranya Acorn Communications, Shopee, Hospital KPJ Rawang, LBS Bina Group, Aurasia, FG Wallet, Rico Rinaldi, Hospital Columbia Asia, Hatta Dolmat, Latar Ekspressway, Muhaya Magical, AirAsia dan Etika Sdn Bhd.

Selain itu, Nasi Tupe Soho Heritage, DeeChoqo, Odourly, Plantsafe, Mc Donalds, Lana Labs, Mika Series, Dapur Andak, TV Al Hijrah, VFiveGroup, SuuBalm, Astro, Luncai Emas dan Suria FM.

Terima kasih daun keladi, insya-ALLAH kita jumpa lagi.