PEMBELIAN atas talian semakin mendapat tempat di Malaysia terutamanya bagi golongan mahasiswa.
Pembelian secara atas talian adalah lebih mudah dan menjimatkan masa kerana segala transaksi dilakukan secara maya.
Kemudahan itu amat sesuai bagi golongan mahasiswa yang mempunyai kekangan masa untuk keluar membeli-belah selain inginkan sesuatu yang cepat dan senang.
Namun begitu terdapat juga risiko yang perlu diambil kira seperti barang yang diterima berbeza (saiz, warna dan kualiti) daripada yang diiklankan, barangan tidak sampai setelah pembayaran dibuat, barangan yang sampai rosak dan sebagainya.
Sinar Plus ingin mengenal pasti faktor yang mempengaruhi aktiviti pembelian secara atas talian khususnya kalangan mahasiswa.
Menurut laporan yang ditulis oleh UKM.my, hasil kajian kualitatif dengan menemubual separa berstruktur yang dijalankan terhadap 30 orang responden yang terdiri daripada pelajar prasiswazah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui beberapa jawapan seperti :

1. Faktor kepercayaan

Faktor kepercayaan dan risiko telah dikenal pasti sebagai faktor utama golongan mahasiswa membuat pembelian atas talian.
Sejak kemunculan World Wide Web (WWW), pelbagai urusan dapat di
lakukan secara atas talian dengan mudah dan cepat.

2. Lebih masa melayari Internet

Kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya golongan remaja banyak meluangkan masa melayari internet seperti bermainan permainan atas talian, mencari maklumat serta berinteraksi dengan rakan-rakan.
Secara tidak langsung, mereka juga terpengaruh untuk membuat pembelian secara atas talian kerana kekerapan mereka terdedah kepada iklan sewaktu melayari internet.
Ianya menjadi semakin popular kerana tidak perlu membeli secara terburu-buru.

3. Jimat kos tambang

Penggemar pembelian secara atas talian bukan sahaja tidak perlu mengeluarkan kos tambang dan kenderaan, malah masa juga dapat dijimatkan untuk mendapatkan sesuatu produk atau perkhidmatan dengan beberapa kos yang mampu dikurangkan.
Pastinya ia digemari terutama golongan kaum hawa yang mungkin menghadapi masalah kenderaan atau masa yang terhad.

4. Kemajuan sistem pendidikan

Kemajuan dan pembangunan sistem pendidikan negara telah mendorong golongan mahasiswa di universiti membuat transaksi atas talian.
Golongan ini telah menjadi salah satu segmen pasaran yang sangat penting.
Ini adalah kerana golongan itu mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk melakukan transaksi atas talian bagi memenuhi kehendak dan keinginan meraka.
Tambahan pula mereka didorong oleh faktor kuasa beli yang mana sebahagian besar mereka sudah memiliki wang hasil daripada pemberian ibu bapa, wang biasiswa atau pinjaman pelajaran dan perkerjaan sambilan.

5. Perbezaan harga

Membuat perbandingan harga dan memilih barangan yang terbaik adalah satu kemestian. Oleh itu, dengan melakukan pembelian atas talian, pembeli mampu membuat perbandingan harga terhadap sesuatu barangan yang ingin dibeli dengan membuat carian di laman-laman jualan yang berkaitan.
Bak kata pepatah, menang membeli menang juga memakai!