BUAT julung-julung kalinya, Sinar Harian akan memberikan 90,000 pelitup muka edisi khas percuma kepada pembaca setia sempena meraikan sambutan Hari Kesihatan Sedunia yang berlangsung pada 7 April ini.

Pemberian pelitup eksklusif secara percuma itu bertujuan memberi peluang kepada semua pembaca menyertai Peraduan Pakai, ‘Tayang’ & Menang RM10,000 yang hanya akan berlangsung pada hari berkenaan.

Ketua Jabatan Pemasaran Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pemberian pelitup muka percuma diikuti dengan peraduan itu adalah bagi menghargai sokongan pembaca yang bersama-sama berjuang menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling dalam usaha menghapuskan penularan wabak Covid 19.

“Ia satu inisiatif yang baik kerana sambil meraikan Hari Kesihatan Sedunia 2021 dengan tema Membina Dunia yang Adil dan Lebih Sihat, kita mahu mengajak orang terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, cara menyertai Peraduan Pakai, ‘Tayang’ dan Menang RM10,000 sangat mudah.

“Peserta hanya perlu mendapatkan pelitup muka edisi khas Sinar Harian yang akan diberikan secara percuma menerusi pembelian akhbar pada hari berkenaan.

“Peserta perlu memakai pelitup muka edisi khas yang diberikan itu ke mana sahaja, kemudian tayang pelitup muka tersebut dengan memuat naik gambar (selfie) swafoto unik dan menarik ke laman sosial anda,” katanya.

Sinar Harian beri pelitup muka percuma edisi khas pada 7 April

Nik Justin berkata, bagi memudahkan kru Sinar Harian mencari 100 pemenang bertuah, peserta perlu tag Facebook/Instagram/Twitter Sinar Harian dan letakkan kapsyen menarik.

Iklan

“Anda juga wajib sertakan hashtag #SinarHariXHariKesihatanSedunia2021, #SinarUntukMalaysia dan #KarangkrafMedicare,” katanya.

Menurutnya, penganjur akan memilih seramai 100 pembaca bertuah yang memakai dan menayangkan pelitup muka edisi khas Sinar Harian itu secara unik serta kreatif ke laman sosial masing-masing.

Baca juga Sekatan jalan raya akan ditambah menjelang Ramadan, hanya dokumen lengkap boleh rentas

“Pemenang yang terpilih akan menerima hadiah wang tunai RM100 setiap orang. Pemenang akan dipilih berdasarkan kreativiti dan keunikan gambar selfie yang dimuat naik.

“Mereka akan dihubungi dengan cara ‘Direct Message’ atau ‘Private Message,” kata beliau.

Peraduan Pakai, ‘Tayang’ dan Menang hanya akan berlangsung selama sehari bermula dari jam 9 pagi hingga 11.59 malam.

Iklan

Justeru, kepada pembaca yang tidak mahu melepaskan peluang tersebut, dapatkan akhbar Sinar Harian setiap hari untuk mengetahui maklumat lanjut.