GOLONGAN frontliner mengambil tanggungjawab berat dan perlu bekerja lebih masa untuk memastikan kebajikan pesakit Covid-19 terjaga sepanjang tempoh sukar ini.

Sejak pandemik Covid-19, isu kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sangat diperlukan oleh frontliner hangat diperkatakan.

Ramai yang telah tampil menghulurkan sumbangan, kini giliran sukarelawan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) apabila sebanyak 75,344 set PPE berjaya dihasilkan setakat Rabu lalu.

Memetik laporan media tempatan, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, sukarelawan yang terlibat merupakan 480 kakitangan jabatan itu dan 436 peserta kelas kemahirannya.

Mereka menghasilkan set PPE yang merangkumi gaun isolasi, tudung dan tali pengikat gaun yang dijahit sejak Mac lepas sebagai sumbangan kepada frontliner.

Iklan

“Seramai 365 tenaga pengajar yang mahir dalam bidang jahitan bersama peserta kelas jahitan di seluruh negara menawarkan diri secara sukarela untuk menyediakan PPE untuk frontliner.

“Mereka (sukarelawan) ini merupakan wira yang tak didendang iaitu ‘Unsung Hero’. Justeru, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam sumbangan tidak ternilai ini,” katanya.

Iklan

Tapi, korang tahu tak apa kepentingan pemakaian PPE dan apa yang jarang orang ramai tahu mengenai PPE? Okey jom SinarPlus kongsikan apa itu PPE dan kenapa ia dilihat penting.

  • Satu set lengkap PPE terdiri daripada pelindung badan, pernafasan, tangan, kaki, mata, kepala dan telinga.
  • Ia memberi perlindungan dengan membantu mencegah mikroorganisma daripada mencemarkan anggota badan tersebut dan agar tidak tersebar kepada pesakit dan petugas kesihatan lain.
  • Penggunaan PPE merupakan pendekatan yang paling biasa dipraktikkan di tempat kerja.
  • Bagaimanapun, penggunaan PPE diklasifikasikan sebagai langkah terakhir kawalan untuk jangkitan, hanya terhad dalam melindungi atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko kepada jangkitan yang akan dialami oleh petugas barisan hadapan apabila berhadapan dengan pesakit yang mempunyai gejala Covid-19.
  • Individu yang memakai PPE perlu berhati-hati ketika memakai pakaian khas itu kerana sekiranya rosak atau terkoyak, ia boleh mendatangkan bahaya. Atas dasar itu, ia mempunyai tata cara dan teknik pemakaian khusus bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.
  • PPE yang belum digunakan perlu disimpan di dalam almari atau kotak dan dipastikan semua peralatan bersih serta dalam keadaan baik sebelum digunakan.
  • Selain itu, jadual penyelenggaran atau penggantian PPE perlu disediakan untuk mengelakkan kerosakan.