Suntikan vaksin Pneumokokal percuma bayi kelahiran 2020 bermula hari ini

A
A
A

BERITA baik buat ibu bapa yang mempunyai bayi kelahiran 2020, pemberian suntikan vaksin Pneumokokal di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) boleh diambil bermula hari ini.

Pemberian suntikan vaksin Pneumokokal ini percuma untuk kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya.

Menerusi perkongsian KKM di Facebook, vaksin ini akan diberikan sebanyak 3 dos iaitu 2 dos primer pada umur 4 bulan dan 6 bulan; diikuti 1 dos penggalak (booster) pada umur 15 bulan.

"Pemberian vaksin diberikan kepada kanak-kanak bertujuan untuk mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit Pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun.

"Ia seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit Pneumokokal dan komplikasinya.

"Walaupun penyakit Pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, namun terdapat beberapa strain bakteria Pneumokokus yang mempunyai kerintangan terhadap antiobiotik.

"Pemberian vaksin Penumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria Pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik," katanya.

Namun, ibu bapa dinasihatkan untuk membuat temu janji dengan klinik kesihatan KKM bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kepatuhan kepada norma baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit Covid-19.

Apakah penyakit Pneumokokal ?

Penyakit pneumokokal adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang dipanggil Streptococcus pneumoniae .

Ia menjangkiti semua golongan umur tetapi lebih sering menjangkiti kanak-kanak dan warga tua.

Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan termasuk jangkitan atau radang paru-paru, meningitis (radang membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), sepsis (jangkitan dalam darah), sinusitis (jangkitan pada sinus) dan otitis media ( jangkitan telinga tengah).

Terdapat banyak jenis strain Streptococcus pneumoniae (sekitar 90 jenis atau serotaip). Walau bagaimanapun hanya segelintir (kira-kira 20 serotaip) bertanggungjawab bagi kebanyakan penyakit pneumokokal.

Suntikan vaksin Pneumokokal percuma bayi kelahiran 2020 bermula hari ini

Mengapa perlu pelalian?

Jangkitan pneumokokal paling biasa berlaku di kalangan yang muda, orang tua (terutama mereka yang melebihi 65 tahun) serta orang-orang yang mempunyai penyakit kronik.

Kebanyakan jangkitan ini adalah serius dan boleh menyebabkan kemasukan ke hospital, hilang upaya secara kekal (pekak, kerosakan otak, atau kehilangan tangan atau kaki ) atau kematian.

Di Malaysia , penyakit pneumokokal adalah sangat kerap dan merupakan penyakit yang boleh dicegah melalui pelalian.

Penyakit pneumokokal adalah serius dan boleh membawa maut , justeru itu, langkah-langkah pencegahan seperti pelalian adalah cara terbaik untuk mencegah penyakit pneumokokal.

Malah pelalian merupakan baris pertahanan pertama menentang jangkitan. Vaksin boleh membantu melindungi daripada penyakit yang serius , komplikasi jangkitan di samping menyelamatkan nyawa.

Baca juga Roti Gardenia naik harga bermula esok, ini penjelasan GBKL

Bagaimana vaksin pneumokokal bertindak?

Vaksin memberi perlindungan terhadap banyak jenis dan strain bakteria. Perlindungan sesuatu vaksin bergantung kepada jenis strain yang terkandung dalam vaksin tersebut.

Vaksin pneumokokal akan membantu merangsang badan menghasilkan antibodi terhadap Streptococcus pneumoniae yang menyebabkan penyakit ini. Ini kerana vaksin mengandungi sebahagian daripada bakteria yang dapat mencetuskan badan untuk membina imuniti

terhadap bakteria tersebut.

Sekiranya sesorang individu yang menerima vaksin tersebut dijangkiti dengan strain(serotaip) Streptococcus pneumoniae tertentu , antibodi ini akan membantu melindungi individu daripada penyakit.

Dalam erti kata lain, vaksin pneumokokal menyediakan vaksinasi terhadap penyakit pneumokokal yang disebabkan oleh strain yan terdapat dalam vaksin tersebut.

Vaksin pneumokokal mengandungi strain yang biasanya menyebabkan penyakit pneumokokal.

Sebarang persoalan boleh diajukan kepada KKM di talian 03-8883 4003 atau emel: imunisasi@moh.gov.my

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata kementeriannya telah memperuntukkan RM60 juta bagi suntikan vaksin pneumokokal secara percuma yang diumumkan dalam belanjawan 2020 sebelum ini.

Sumber: KKM dan myhealth

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca