KEJAYAAN Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM) mengawal penularan wabak Covid-19 sehingga peratus pesakit yang pulih kini menghampiri 98 peratus dan menjadi lima negara terbaik di dunia dalam mengawal wabak berkenaan, menjadi  perhatian banyak pihak dan wajar dipuji.

Pernah mencatatkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan sebanyak empat angka pada satu masa, kini jumlahnya berada pada tahap sekitar 100.

Pencapaian memberangsangkan KKM membolehkan semua sekolah dibuka menjelang penghujung Julai ini. Sementara sebahagian penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta boleh kembali ke kampus pada masa yang sama.

Pencapaian KKM

Antara pencapaian terbaru KKM ialah penamatan sebanyak 60 kluster Covid-19 di Malaysia sehingga 14 Julai termasuk kluster terbesar negara iaitu Kluster Seri Petaling.

Satu lagi pencapaian KKM ialah penutupan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah  Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang  (MAEPS) secara rasmi pada 15 Julai lepas apabila pesakit terakhir discaj pada Jumaat, 10 Julai.

Memetik laporan media tempatan, pusat itu diilhamkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 sehingga telah berjaya merawat 1,362 pesakit dengan 86 peratus bukan warganegara dan 14 peratus merupakan warganegara.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan bermula 10 Julai dan dijangka berakhir 31 Ogos, melibatkan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat menjadikan pejabat Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba tumpuan perwakilan asing.

Dr Adham berkata, setakat ini beliau telah menerima kunjungan hormat dari lima duta, sementara Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur sudah menghubungi beliau untuk mengatur kunjungan hormat.

Kelima-lima duta yang sudah bertemu dengan Dr Adham ialah  Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi;  Duta Colombia ke Malaysia, Mauricio Gonzalez Lopez; Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Wali; Duta Sweden ke Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelt dan  Duta Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov.

“Kebanyakan duta yang ditemui mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada KKM kerana mereka berasa selamat untuk meneruskan tugas di negara ini dengan langkah pencegahan Covid-19  yang diambil pihak berkuasa Malaysia.

“Mereka berasa Malaysia seolah-olah menyelamatkan mereka daripada ancaman Covid-19,” tambah beliau.

Sehingga kini kes Covid-19 di seluruh dunia menghampiri 14 juta dengan kematian mencecah lebih setengah juta kes.

Ditanya mengenai perkara yang dibincangkan ketika perwakilan asing melakukan kunjungan hormat ke atasnya, Dr Adham berkata, ada duta yang mencadangkan pembukaan sempadan di antara  Malaysia dan negara mereka.

“Bagaimanapun buat masa ini belum sampai masanya untuk pelaksanaan green bubble. Ia mungkin akan menjadi perkara akhir yang akan dilakukan Malaysia. Tumpuan kini ialah untuk  memantau pembukaan sektor pendidikan termasuk kesemua sekolah sepanjang bulan ini, ” jelasnya.

Pujian masyarakat antarabangsa

Selain Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut menerima kunjungan hormat perwakilan asing.

Dalam catatan di akaun laman sosial Facebook Noor Hisham Abdullah, beliau memberitahu mengenai kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski.

Antara perkara yang dibincangkan pada kunjungan itu ialah pengalaman Malaysia dan Australia dalam menangani Covid-19, modelling work Malaysia bagi Covid-19 dan green bubble di antara kedua-dua negara.

Iklan

Dalam akaun Facebook yang sama, Dr Noor Hisham turut berkongsi mengenai kunjungan hormat Duta Korea Selatan ke Malaysia Lee Chi Beom dan delegasinya.

Selain berbincang mengenai respons kedua-dua negara terhadap wabak Covid-19, Korea Selatan turut mencadangkan kebenaran lawatan di antara rakyat Malaysia dan Korea Selatan.

Kejayaan Malaysia dalam berdepan dengan cabaran Covid-19 turut mendapat pujian komuniti kesihatan di peringkat global.

Berasal dari Amerika Syarikat dan kini berpangkalan di  Australia, Prof Madya Julie Miller, pakar bedah dalam pembedahan endokrin, memuji Dr Noor Hisham kerana kejayaan mengawal penularan Covid-19.

Dalam paparan Facebooknya, Miller yang mempunyai bidang kemahiran sama dengan Dr Noor Hisham memuji Dr Noor Hisham yang dianggapnya sebagai sahabat dan rakan sejawat.

Iklan

“Sahabat dan rakan sejawat saya, ahli bedah Hisham Abdullah, kini Ketua Pengarah Kesihatan di Malaysia dan beliau terlibat dalam pengawalan pandemik. Beliau dengan pantas membuat keputusan yang tegas, malahan sebelum Malaysia berdepan dengan kes pertama.

“Kawalan sempadan yang ketat, membuat ujian, mengesan dan mengasingkan, sidang akhbar harian dan membuat keputusan berdasarkan bukti dan fakta. Pasukan pegawainya mendengar serta melaksanakan nasihat beliau, ” kata Miller.

Beliau menambah, masyarakat di Malaysia mematuhi arahan penjarakan sosial, mencuci tangan dan memakai pelitup muka.

“Sebagai hasilnya, Malaysia, sebuah negara yang ramai penduduk berbilang kaum serta budaya mencapai hasil yang bagus dan Hisham dinobatkan sebagai wira negara. Sains bukan politik, ” jelasnya.

Miller turut membandingkan dengan apa yang dihadapi oleh Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional, Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci yang menerima ancaman bunuh.

“Lihatlah apa yang berlaku di Amerika Syarikat. Dalam saya berbangga dengan pencapaian sahabat saya serta rakyat di Malaysia, saya berasa sedih dengan apa yang berlaku di negara saya, ” tambahnya.

Diharapkan momentum semua pihak dalam mencegah Covid-19 akan kekal sehingga membolehkan Malaysia diisytiharkan bebas daripada pandemik Covid-19.

Syabas Malaysia!