"Syahdunya bersolat, berdoa di bumi Arafah" - Tabung Haji usik kenangan, warga maya luah rindu

A
A
A

TIDAK terbendung rasanya hati menahan rindu mendalam pada Tanah Suci, namun apakan daya dek pandemik Covid-19 hasrat ke sana terpaksa ditangguhkan buat sementara.

Kerinduan itu semakin menebal apabila tibanya musim haji. Jika sebelum ini satu demi satu kumpulan jemaah berlepas dari tanah air ke Tanah Suci, tetapi tahun ini pula sebaliknya.

Seramai 263 rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi sahaja berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu. Mereka adalah sebahagian daripada 60,000 jemaah yang dibenarkan oleh Kerajaan Arab Saudi menjadi tetamu ALLAH.

Berbicara mengenai musim haji baru-baru ini pihak Tabung Haji berkongsi kenangan menunaikan haji menerusi laman sosial Facebook.

Dalam hantaran tersebut dimuat naik kepingan foto yang memaparkan para jemaah menunggu waktu wukuf di Arafah.

“Walaupun dalam keadaan kurang selesa, suhu panas dan kurang sumber cahaya, namun ini (situasi) tidak mematahkan semangat para jemaah haji untuk terus melakukan pengisian rohani seperti berdoa, membaca al-Quran, berzikir, solat sunat dan sebagainya sementara menunggu masuknya waktu wukuf pada esok hari.

“Bagi mereka yang pernah merasai malam di Arafah sudah tentu memori ini akan tetap diingati sehingga akhir hayat. Sesungguhnya kami amat rindukan bumi Arafah,” tulisnya.

Warga maya rata-rata menzahirkan kesayuan melihat foto berkenaan. Malah, ada yang berharap agar dijemput menunaikan ibadah haji pada tahun hadapan.

Perkongsian tersebut secara tidak langsung menjentik emosi dan kerinduan berganda tatkala mengenangkan momen indah sedemikian.

Titip warga maya:

- “ALLAHUAKBAR, kenangan haji 2017. Syahdunya, bersolat, berzikir dan berdoa di bumi Arafah.”

- “Saat paling indah dalam hidup.. ALLAHUAKBAR insya-ALLAH satu hari nanti ingin ke sini lagi.”

- “Ya ALLAH rindunya nak berdoa di Arafah lagi kenangan yang terindah walaupun malam di Arafah pada tahun 2018 ada ribut kencang melanda. ALHAMDULILLAH kami selamat biarpun air mata bercucuran ketika sujud memohon kempunan dari ALLAH. Ya ALLAH jemputlah kami datang lagi mengunjungi tanah suci-MU.”

- “Tahun 2019 hujan lebat di sebelah petang di Arafah dan keesokannya hujan terlalu lebat semasa di Mina sehingga banjir kilat.”

- “Teringat lagi kenangan berwukuf musim haji 1435H yang lalu. Syahdu sangat rasa. Rasa kerdilnya diri dalam lautan manusia. Semoga ALLAH jemput lagi ke sini.”

- “Sesungguhnya sangat merinduimu Arafah. Sejarah dalam hidup yang tidak dapat dilupakan. Perancangan ALLAH itu MAHA MENGATUR setiap langkah yang penuh hikmah. Tiba-tiba hati jadi tenang, ALLAHUAKHBAR.”

- “Moga Allah jemputku dan suamiku haji tahun hadapan! Aamiin.”

Baca juga “Alhamdullilah Seronok Mak Saya Dengar, Boleh Tunai Haji” – Penerima Lega, Arab Saudi Iktiraf Vaksin Sinovac

Direkodkan, pada tahun ini Kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan bukan pemastautin menunaikan ibadah haji berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Tahun ini merupakan tahun kedua Kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah dalam jumlah kecil menunaikan haji ketika pandemik.

Semua jemaah yang terpilih telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan berumur antara 18 hingga 65 tahun serta tidak mempunyai penyakit kronik.

Sementara itu, Arab Saudi juga belum membenarkan jemaah antarabangsa menyertai ibadah haji kali ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca