SUNTIKAN vaksin adalah bertujuan membantu mengawal penularan koronavirus. Individu akan dilindungi secara optimum selepas menerima dua dos bagi mengurangkan jangkitan serius.

Berdasarkan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) setakat ini sebanyak 17,891,932 sudah mendaftar.

Seramai 7,840,034 selesai dos pertama manakala hingga 5 Julai lalu sebanyak lapan peratus lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Antara vaksin yang diberikan ialah Pfizer BioNTech, Astrazeneca dan Sinovac.

Pun begitu, bercakap mengenai variasi vaksin sesetengah penerima Sinovac menzahirkan kebimbangan apabila dikatakan tidak berpeluang menunaikan ibadah haji dan umrah.

Ia berikutan pihak kerajaan Arab Saudi hanya mengiktiraf jemaah yang menerima vaksin Pfizer BioNTech dan Astrazeneca.

Tapi, kini tidak lagi apabila kerajaan Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima memasuki negara tersebut.

Ini bermakna orang ramai yang menerima suntikan vaksin berkenaan berpeluang menunaikan ibadah haji dan umrah pada masa akan datang.

Berita gembira itu dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman sosial beliau.

“Alhamdulillah, Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi kemasukan ke sana.

“Boleh sampaikan kepada ahli keluarga yang telah menerima vaksin Sinovac dan berniat untuk tunaikan haji dan umrah akan datang.

“Sama-sama kita doakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini, dipermudahkan ALLAH SWT.

“Tidak ada lagi kerisauan kepada ahli keluarga kita yang khuatir tidak dapat tunaikan haji dan umrah kerana diberi vaksin Sinovac,” tulis beliau.

Baca juga [VIDEO]Kenali Keberkesanan, Sifat Vaksin Pfizer, Sinovac Dan AstraZeneca

Iklan

Selain itu, Zulkifli turut berkongsi pautan laman web Kementerian Kesihatan Arab Saudi https://eservices.moh.gov.sa untuk rujukan permohonan masuk ke negara itu.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa fokus kini adalah untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKJAV dalam memastikan lebih ramai mendaftar dan hadir vaksinasi.

Justeru, dengan perkembangan terbaharu itu Arab Saudi kini telah mengiktiraf enam jenis vaksin Covid-19 iaitu:
– Pfitzer-BioNTech
– Moderna
– AstraZeneca
– Jansses
– Sinopharm
– Sinovac

Nampaknya berita gembira itu disambut baik dalam kalangan warga maya yang memanjatkan kesyukuran susulan keputusan kerajaan Arab Saudi.

Tulis warganet:
– “Alhamdulillah seronok mak saya dengar esok ni. Terima kasih share info ni Ustaz.”

– “Alhamdulillah, semoga dapat berulang-alik ke tanah haram aminn.”

– ”ALHAMDULILLAH, syukur, semoga ALLAH mempermudahkan segala urusan kita semua, aamiin.”

Iklan

– ”ALHAMDULILLAH, syukur ALLAH mudahkan urusan ummah. Terima kasih usaha baik dari pengurusan Islam Malaysia moga tahun depan dipanjangkan umur dapat rezeki menunaikan haji insya-ALLAH.”

– ”Percayalah setiap perancangan ALLAH. Jika sudah tiba masa kesana, tak kisahlah apa jenis vaksin pun. Pasti ada jalannya.”

Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Kredit foto: hsharifain, pharmaceutical-technology.com