MEMILIKI seorang anak autism memang satu cabaran dan dugaan kepada pasangan ibu bapa. Bagaimanapun, pada era ini, kesedaran mengenai autisme dalam kalangan masyarakat semakin baik.

Baru-baru ini, Norizwan Azlan yang juga merupakan seorang penulis buku telah berkongsi pengalamannya menerusi laman Facebook mengenai bagaimana beliau handle anaknya yang bernama Zara, seorang kanak-kanak autistik.

Norizwan antara lain berkata: “Lama dah aku tak guna berus ni. Tapi tadi tiba tiba anak aku yang ada autisme, Zara, dia mengamuk tanpa sebab musabab.

“Try peluk tak jalan, try pujuk guna mainan pun tak ok dan kalau marah pun bukan dia faham pun.

“Mujurlah aku teringat pasal berus ni, terus aku cari dalam laci dan gosok terus kat tempat-tempat yang tertentu kat anggota badan Zara.”

Jadi, apa yang dilakukannya? Norizwan berkata, dengan menggunakan berus tadi, beliau menggosok secara sehala pada tapak kaki, betis, keting dan belakang badan selama 10 ke 15 minit sehingga Zara berhenti meraung dan kembali tenang.

Ujarnya, berus tersebut sebenarnya berfungsi untuk menghilangkan rasa sensitif melampau terhadap kanak-kanak autisme.

“Bukanlah hilangkan terus tapi akan buat budak-budak ni rasa tenang. Lagi kerap guna lagi bagus sebab lagi tenang budak tu.

“Tapi ni bukan macam berus basuh kain tau. Memang nampak sama, tapi bukan. Kalau guna berus basuh kain, meraung budak tu nanti. Bukan jadi tenang, tapi jadi badang.

Iklan

“Kalau search dalam Shopee, cari nama sensory brush, nanti keluarlah macam macam jenis. Memang elok untuk budak-budak autism,” tulisnya lagi.

Norizwan memberitahu, harga berus sensori tersebut tidaklah terlalu mahal.

Rasanya berapa banyak pelaburan sekalipun, kalau ia berbaloi, apa salahnya kan? Jadikan sebatang berus sebagai senjata paling ampuh untuk menangani kanak-kanak autisme yang tengah mengamuk.

Iklan

Jadi, buat pembaca SinarPlus yang mempunyai cabaran mengurus anak autisme di luar sana, bolehlah mencuba kaedah berus sensori ini sebagai ikhtiar. Semoga bermanfaat.

SinarPlus juga berkongsi informasi lebih lanjut daripada myautistichild tentang kehebatan sebatang berus bagi menenangkan golongan autisme.

  • Menurut Wilbarger Brushing Protocol, cara penyelesaian bagi menangani masalah deria sentuhan adalah dengan melakukan teknik brushing.
  • Berus yang direka khusus untuk melakukan teknik ini, dikenali sebagai sensory brush manakala therapressure brush direka dengan saiz yang lebih besar, berbentuk oval bagi memberi kesesuaian dengan genggaman tangan dan mendapatkan hasil yang maksima.
  • Berus ini diperbuat dari plastik yang sangat lembut sifatnya.
  • Teknik brushing disyorkan untuk dilakukan setiap 2 jam sekali ketika si anak dalam keadaan sedar.
  • Brushing dilakukan ke atas bahagian permukaan kulit si anak secara deep pressure bermula dari bahagian lengan hingga ke kaki.
  • Elakkan tempat-tempat sensitif seperti pada muka, dada, perut kerana ia boleh memberikan reaksi tidak diduga seperti termuntah.
  • Boleh dilakukan selagi ia memberi manfaat kepada mereka. Ini merupakan salah satu cara yang disyorkan bagi mengatasi masalah sensori anak-anak autisme.
  • Teknik ini telah memberi input positif terhadap anak-anak yang mengalami autisme.

Sumber: Norizwan Azlan